USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADILAH UMAT CONTOH, KATA NC

USM, PULAU PINANG, 22 Mac 2016 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyeru pelajar untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan belajar bersungguh-sungguh dan melakukan amal ibadah.

"Program Mosque Tour Week 2016 ini misalnya adalah usaha yang baik yang seharusnya mendorong  pelajar dan warga USM  menjadikan masjid sebagai tempat ibadah yang membanggakan dan menjadi umat contoh yang boleh ditauladani.

"Pelajar dan warga USM perlu menonjolkan tingkahlaku seperti yang diajar oleh agama yang merupakan sesuatu faktor untuk menarik masyarakat bukan Islam untuk mendalami dan memahami tentang kehidupan Islam," tegas beliau.

Tambah Omar lagi, faktor ini misalnya telah menarik institusi luar seperti Kyoto University of Foreign Studies (KUFS) untuk bekerjasama dengan USM untuk mewujudkan Pusat Kebudayaan Jepun sebagai simbolik kekukuhan dan kepercayaan dalam hubungan dua hala daripada budaya yang berbeza.

"Interaksi pihak KUFS bersama kita di USM selama ini menyebabkan mereka menghormati amalan dan budaya yang ada termasuk kesopanan dalam budi bicara dalam pergaulan menyebabkan satu usaha padu dilakukan untuk faedah bersama.

"Malah pelajar-pelajar dari negara Jepun juga mahu belajar, memahami serta mendekati budaya dan agama kita kerana keunikan yang ditunjukkannya," ujar beliau.

Program Mosque Tour Week 2016 dianjurkan oleh Pusat Islam USM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam yang berlangsung pada 22 hingga 26 Mac 2016 menyediakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya, pameran khat dan landskap, perubatan Islam, ceramah, pemeriksaan kesihatan, subuh perdana, derma darah, jamuan kesyukuran, produk usahawan Muslim dan Mosque Tour Guide.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 654

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024