USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PRIHATIN TERHADAP KEBAJIKAN OKU

12899928 1167849959914526 1299686430 n

USM, PULAU PINANG, 22 Mac 2016 - Kurang upaya fizikal tidak menghalang semangat golongan kurang upaya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan bersaing secara sihat dengan siswa-siswi yang sihat tubuh badan.

Syaza binti Anuar, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, yang dilahirkan kudung tangan kiri berkata, USM merupakan pilihan pertamanya memandangkan USM antara universiti yang banyak memberi perhatian kepada kebajikan orang kurang upaya (OKU).

“USM amat prihatin dan menitikberatkan keperluan dan kemudahan OKU misalnya siswa-siswi yang mempunyai masalah kurang upaya fizikal akan ditempatkan di aras bawah Desasiswa Aman Damai untuk memudahkan pergerakan mereka, tandas yang disediakan juga amat selesa dan luas serta memenuhi spesifikasi tandas OKU di mana keperluan seperti pemegang disediakan sebagai sokongan untuk mereka bergerak.

“Selain itu, USM yang menawarkan kursus bahasa asing juga mendorong saya memilih USM sebagai destinasi melanjutkan pengajian kerana dapat mempelajari bahasa baru. Saya amat berminat dengan bahasa asing dan telah mengambil Bahasa Jerman dan Korea untuk memperkasakan dan meningkatkan kemahiran berbahasa asing,” katanya yang mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Sastera (Terjemahan dan Interpretasi).

Jelasnya lagi, dia pernah menerima tawaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pelajaran ke Korea dalam bidang ‘Engineering in Animation’ namun dia menolaknya kerana bimbang tidak mampu menyesuaikan diri dengan dunia luar apabila berjauhan dengan keluarga tatkala usia masih muda.

Walaupun mengalami kurang upaya fizikal, Syaza tetap berminat dan berbakat dalam seni lukisan khususnya dalam seni lukis inai. Sambutan yang menggalakkan dari pelajar USM membolehkan dia memulakan perkhidmatan seni lukis inai dan sering mendapat pelawaan untuk membuat inai kepada bakal pengantin sempena hari perkahwinan dengan mengenakan harga yang berpatutan.

“Saya lebih selesa sekiranya diberi layanan seperti orang yang sihat fizikal kerana golongan kurang upaya juga mampu hidup dengan baik dan tidak harus mengambil kesempatan ke atas orang lain sebab kekurangan diri mereka,” katanya.

Syaza berharap golongan kurang upaya tidak akan putus asa atas kekurangan diri dan takut akan persepsi orang lain kerana pensyarah dan pelajar USM memberi layanan yang sama rata kepada semua tanpa diskriminasi mana-mana pihak.

Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1134

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024