USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SITI ZURIANAH AKUI UNIVERSITI BANTU ASAH BAKAT SUKARELAWAN

IMG 0085fhj

USM, PULAU PINANG, 23 Mac 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan segala prasarana yang perlu dalam memajukan bakat dan minat pelajar dalam bidang yang diminatinya termasuk kesukarelawanan.

Calon Tokoh Sukarelawan Siswa dalam Anugerah Tokoh Siswa 2015 yang akan berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 23 April ini, Siti Zurianah Ismail, 24, dari Pusat Pengajian Pengurusan mengakui bahawa kesempatan dan persekitaran yang ada di universiti berjaya memupuk bakat dan minatnya yang mendalam untuk menolong orang lain sebagai seorang sukarelawan terutamanya mereka yang tidak berkemampuan dan menjalani hidup yang sukar.

Anak kepada pasangan Ismail Haji Sukimin, 51, dan Khanita Abu, 41, serta kakak kepada dua orang adik yang salah seorang darinya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) lemah dalam pembelajaran, berazam untuk membantu masyarakat yang ada di sekelilingnya.

"Saya lahir dan membesar dalam keluarga yang susah dengan ayah seorang penoreh getah di Pekan Labis, Segamat, Johor dan ibu tidak bekerja," katanya yang mula membantu pelajar sekolah yang tidak berkemampuan dengan memberikan kelas tambahan percuma sejak berusia 16 tahun dalam kejiranannya yang belum membangun.

Beliau mendapat kepercayaan dari ibu bapa yang kebanyakannya bekerja di ladang kelapa sawit dan penoreh getah untuk menghantar anak-anak mereka kerana pada ketika itu beliau satu-satunya pelajar yang mendapat 8A dalam PMR di Pekan Labis. Dengan keputusan yang cemerlang beliau tampil ke hadapan untuk membantu pelajar terutama pelajar yang akan menduduki UPSR dan PMR.

Jelasnya, melalui keperitan hidup dan kemampuannya yang menjadikan beliau berazam untuk sentiasa menolong orang lain apatah lagi setelah universiti membuka ruang seluas-luasnya untuk berbuat demikian.

Menurut pelajar tahun akhir dalam pengkhususan Kewangan Islam yang memegang Biasiswa Diraja Sultan Johor ini lagi, usahanya berbaloi apabila ada pihak yang berminat dan menyokong bagi merealisasikan cita-citanya membangunkan pasukan sukarekawan di negeri Johor apabila tamat pengajian nanti untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Siti Zurianah turut menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Kementerian Pendidikan Tinggi seperti Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN seperti di Sarawak (Bintulu, Kapit dan Batang Maro Batang Lupar), Pasca Banjir (Pahang dan Kelantan), serta Laos dan Vietnam.

Anak sulung dari tiga beradik ini berazam untuk terus membantu masyarakat terutamanya yang dapat memberi impak  berterusan dan meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi mereka.

“Semasa di Batang Maro Batang Lupar, saya membantu penduduk dengan memasarkan produk madu kelulut dan kelapa dara serta membina pintu gerbang setinggi 18 kaki dengan bantuan penduduk di sana," katanya menceritakan pengalaman yang dilaluinya ketika menyertai beberapa misi sukarelawan.

Ceritanya lagi, semasa di Kampung Kheuakhaokhat, Laos, dia dan beberapa rakan pernah mengalami situasi mencemaskan apabila sebuah rumah yang didiami seorang datuk berumur 102 tahun terbakar. 

"Pada waktu tersebut suhu mencecah hampir 41 darjah Celsius, kami tidak ada bekalan air bersih hingga terpaksa menggunakan air parit dan air dalam kandang lembu di kawasan sekitar untuk memadamkan api," kata Siti Zurianah.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1014

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024