USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT KEBUDAYAAN JEPUN KUFS-USM MERCU TANDA KOLABORASI RENTAS NEGARA

IMG 5322ghjk

USM, PULAU PINANG, 22 Mac 2016 – Pelancaran rasmi Pusat Kebudayaan Jepun KUFS-USM oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas hari ini menjadi perintis dan mercu tanda kolaborasi antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), Jepun malah ikon penting dalam sejarah hubungan budaya dua hala antara dua institusi di dua buah negara.

Berpegang kepada idea-idea persahabatan dan kerjasama, pusat ini bertujuan memperkenalkan budaya Jepun dalam kalangan masyarakat Malaysia secara lebih luas dan memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia bagi membolehkan mereka mempunyai pengalaman dan mendapat maklumat langsung mengenai budaya Jepun.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, penubuhan pusat ini merupakan satu pencapaian yang besar dan dianggap nexus yang penting dalam pemupukan nilai-nilai budaya dalam kalangan penduduk pelbagai budaya dan tradisi selaras dengan moto KUFS, ‘Keamanan Dunia melalui Bahasa' (World Peace Through Languages).

IMG 5368yj

IMG 5383fgj

“USM amat mementingkan identiti budaya dan pemeliharaan warisan budaya yang kaya, serta menganggap budaya sebagai alat penting untuk menyatukan rakyat dan negara. Oleh itu, penubuhan Pusat Kebudayaan ini adalah tepat pada masanya dan diharapkan dapat meningkatkan lagi integrasi budaya dan pemuliharaannya demi mengukuhkan institusi kebudayaan kedua-dua buah negara,” tambah Omar.

Pengarah Eksekutif Persatuan Universiti Swasta Jepun, Hidebumi Koide pula berkata, tumpuan pihaknya diberikan kepada bidang kurikulum bagi memastikan kualiti tinggi dalam pendidikan dan pembelajaran bahasa.

“Untuk mengekalkan hubungan yang baik antara Jepun dan Malaysia adalah penting untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Jepun dan pembangunan budaya di Malaysia,” tambah Hidebumi. Canselor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUFS, Prof. Dr. Yoshikazu Morita berharap pelajar Malaysia dan Jepun dapat menggunakan Pusat Kebudayaan Jepun KUFS-USM ini dengan efektif supaya mereka lebih memahami budaya kedua-dua buah negara.

IMG 5483fgj

IMG 5513fgygj

Pusat Kebudayaan Jepun KUFS-USM ini telah ditubuhkan di USM pada Ogos 2015 dan kini beroperasi sepenuhnya di Aras 3, Bangunan Toray-USM Knowledge Transfer Centre.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian Pusat ini ialah Timbalan Konsul-Jeneral, Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Hiroko Taniguchi; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan serta pegawai-pegawai utama USM dan KUFS.

Teks: Nandhini Thiagaraja (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024