KELAB BADMINTON SUKAN STAF USM TERUS MENGORAK LANGKAH MENJADI YANG TERBAIK
USM, PULAU PINANG, 22 Mac 2016 – Kelab Badminton Sukan Staf merupakan harapan dan pencetus transformasi kegiatan sukan staf di Universiti Sains Malaysia (USM) kerana kelab di bawah naungan Kelab Sukan Staf (KSS) USM ini telah berjaya menguruskan kelab dengan baik.
Demikian kata Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Mohamad Mohd Hanif ketika menyaksikan perlawanan persahabatan badminton di antara pasukan Kelab Badminton Sukan Staf USM dan Kelab Setiausaha Kerajaan Negeri (SUKPP) di Kompleks Badminton USM yang berkesudahan dengan keputusan memihak kepada SUKPP yang memenangi 4 daripada 7 perlawanan yang dipertandingkan.
Menurut Hanif, badminton merupakan salah satu sukan yang digemari ramai di Malaysia dan ia juga adalah salah satu sukan yang pernah menjulang nama USM dengan menjuarai kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) sebanyak 4 kali.
“Kini Kelab Badminton Sukan Staf USM dengan barisan ahli jawatankuasa baru yang diketuai oleh Konvenor, Dr. Baharudin Bin Ibrahim bersama penasihat-penasihat kelab iaitu Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Bin Abdullah dan Dr. Misni Bin Surif telah mula menggorak langkah untuk membawa kelab yang telah berusia lebih 40 tahun itu ke tahap yang lebih tinggi lagi,” jelasnya lagi yang juga merupakan Penasihat KSSUSM.
Sementara itu, Dr. Baharudin pula berkata, kelab telah memulakan transformasi dengan mengutamakan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kelab dan beberapa perlawanan persahabatan telah diatur dalam masa terdekat, di antaranya menentang kelab PDRM Cameron Highland dan kelab PDRM kontingen Pulau Pinang.
“Selain itu, satu kejohanan tertutup dan satu kejohanan terbuka USM akan dianjurkan oleh Kelab pada tahun 2016, malahan penganjuran Kejohanan Badminton Staf Universiti ASEAN yang pernah dianjurkan oleh USM juga dalam kalendar perancangan.
“Kita juga akan membuat persiapan untuk menyediakan satu pasukan yang mantap untuk tujuan penyertaan dalam pertandingan seperti SUKUM dan juga akan memastikan terdapat pemain USM yang akan mewakili kejohanan MAKSAK setiap tahun,” katanya.
Dr. Baharudin mengalu-alukan staf terutamanya dari golongan akademik untuk menyertai kelab ini jika ingin mewakili universiti dalam kejohanan-kejohanan yang tersebut di atas.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: KBSSUSM
- Created on .
- Hits: 1079