USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RINTIS 2016 PLATFORM UNTUK PELAJAR TONJOL KREATIVITI

USM, PULAU PINANG, 18 Mac 2016 - ‘Research Innovation Towards Integration and Sustainability’ (RINTIS) mampu menonjolkan kreativiti dan keupayaan para pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui hasil seni yang mereka hasilkan sebelum melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi.

Dekan PPS USM, Profesor Madya Omar Bidin berkata pelajar di PPS perlu lebih proaktif dan menonjolkan kebolehan dan kreativiti masing-masing serta mengambil segala peluang yang ada tanpa ada sempadan yang memisahkan.

“Mereka haruslah belajar menerima kritikan dalam membina keyakinan diri untuk menghadapi dunia kerjaya yang mencabar,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pra-Pelancaran program RINTIS 2016 di sini, hari ini. Manakala pelancaran secara rasmi bakal berlangsung pada 17 Mei depan di Dewan Budaya.

Omar Bidin juga berharap para pelajar PPS USM akan terus berazam untuk maju dalam mengharungi fasa pekerjaan yang bakal ditempuhi apabila tamat pengajian kelak.

“Namun paling penting ialah bagaimana para pelajar memasarkan diri mereka kepada industri serta proaktif dan dengan apa yang diperolehi di PPS, semua ini boleh menjadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Festival yang disambut buat kali ke-13 ini adalah platform untuk para pelajar tahun akhir mempamerkan kreativiti projek masing-masing yang meliputi pelbagai  disiplin iaitu bahagian Rekabentuk Grafik Komunikasi, bahagian Rekabentuk Teknologi Media Baru, Rekabentuk Produk, Seni Halus, Persembahan & Pedagogi dan Lakonan & Pengarahan. Sejarah RINTIS diperkenalkan sekitar tahun 2004 oleh Prof. Madya Hasnul J. Saidon.

Program yang berlangsung selama dua bulan bermula 23 Mac hingga 26 Mei 2016 ini turut menampilkan beberapa persembahan teater menarik, antaranya ialah ‘The Bringer of Wonde’, Wak Cantuk, Syajar, Dewan Persidangan, ‘The Misery’, Sawo, ‘The Maids’, Medea, dan Lina dan Lijah.

Menurut Pengarah Projek RINTIS 2016, Mohd Elmie Mohd Sukri, 23, persembahan kesembilan teater ini akan dipentaskan bermula 23 Mac hingga 11 Mei ini di mana setiap minggu akan dipentaskan satu teater selama dua hari.

“Persembahan teater kali ini menampilkan keunikan yang tersendiri oleh para pelakon yang bertungkus lumus memberikan komitmen sempena projek tahun akhir mereka,” jelasnya.

Tambah Mohd Elmie, penonton boleh mendapatkan tiket-tiket melalui laman facebook ‘RINTIS Showcase 2016’ dan booth juga akan dibuka di Foyer Dewan Kuliah.

Yang hadir sama dalam majlis pra-pelancaran hari ini ialah pelakon terkenal, Faye Kusairi yang turut membintangi teater muzikal ‘Hansel & Gretel’ yang akan dipentaskan di Dewan Budaya, USM pada 20 Mac hingga 22 Mac 2016.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024