USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN PEKERJA SOSIAL

DSC 0062dfh

USM, PULAU PINANG, 21 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus kerja sosial sejak tahun 1975. 

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Azlinda Azman, dalam tempoh 41 tahun ini, USM banyak menyokong kepada pembangunan kursus kerja sosial selaras dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai pekerja sosial yang profesional bagi memenuhi keperluan negara.

Beliau berharap kursus kerja sosial ini akan dapat terus melahirkan graduan yang kompeten serta mengamalkan nilai dan etika yang tinggi dalam memenuhi keupayaan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat secara berterusan. 

Bercakap sempena Hari Pekerja Sosial yang disambut pada 15 Mac setiap tahun, Azlinda berkata, Hari Pekerja Sosial adalah untuk meraikan para pensyarah dan pengamal kerja sosial di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli International Association of Schools of Social Work (IASSW) dan International Federation of Social Workers (IFSW).

Exco Persatuan Pekerja Sosial Malaysia itu berkata Hari Pekerja Sosial disambut oleh negara maju untuk memberi pengiktirafan dan meraikan pendidik dan pengamal kerja sosial atas sumbangan mereka dalam memberi perkhidmatan kepada pelbagai golongan masyarakat yang memerlukannya. 

“Sambutan Hari Pekerja Sosial Peringkat Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Dignity and Worth of Peoples: No one will be left behind’ yang dipilih berdasarkan tema agenda global IFSW-IASSW ke arah pembangunan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pada tahun ini Persatuan Pekerja Sosial Malaysia meraikan Hari Pekerja Sosial Peringkat  Kebangsaan melalui penganjuran satu forum awam pada hari Sabtu, 19 Mac 2016 di Kolej Brickfields Asia Kampus Petaling Jaya bagi membincangkan dengan lebih mendalam tema tahun ini. 

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, Encik Richard J Towle menyampaikan ucapan khas sempena forum itu. 

Kelab Kerja Sosial, PP Sains Kemasyarakatan USM turut berperanan aktif dalam meningkatkan kesedaran pekerja sosial tentang isu-isu semasa di samping memberikan perkhidmatan berterusan kepada komuniti setempat.

Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1548

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024