JUARA MBBC AKAN KE COPENHAGEN DENMARK
Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2016 adalah sebuah projek yang dipelopori oleh Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan.
Pertandingan yang diasaskan oleh Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha ini bertujuan untuk mendedahkan bidang neurosains kepada generasi muda di peringkat sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Terdapat sembilan universiti yang akan menguruskan pelajar sekolah dari setiap negeri yang dibahagikan kepada sembilan zon. Peringkat saringan dan pertandingan akhir di peringkat zon dijalankan di Universiti Utara Malaysia (Zon A), USM Kampus Induk (Zon B), Universiti Malaya (Zon C), Universiti Putra Malaysia (Zon D), USM Kampus Kesihatan (Zon E), Universiti Sultan Zainal Abidin (Zon F), Taylor's University (Zone G), Universiti Malaysia Sarawak (Zon H) dan Universiti Malaysia Sabah (Zon I) secara serentak.
Menurut Penyelaras Bersama MBBC 2016 Zon B, Dr. Zurina Hassan, peringkat saringan telah dijalankan pada 14 Januari serentak di semua zon dan diikuti dengan peringkat akhir bagi zon pada 21 Mac.
Bagi peringkat saringan, soalan yang disediakan adalah berdasarkan pengetahuan am dan pelajar yang berjaya ke peringkat seterusnya perlu menjawab soalan yang berkaitan neurosains.
"Hanya tiga pelajar akan dipilih dari setiap zon bagi pertandingan akhir di peringkat zon sebelum berentap di peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 4 hingga 5 Mei di USM Kampus Induk," tambah beliau.
Hanya seorang sahaja pemenang peringkat kebangsaan berpeluang ke Copenhagen, Denmark untuk menyertai International Brain Bee Challenge di peringkat antarabangsa pada bulan Julai ini.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 512