USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AKTIVITI GOTONG-ROYONG PERMULAAN KEMERIAHAN MOSQUE TOUR WEEK 2016

PULAU PINANG, 21 Mac 2016 - Program Mosque Tour USM 2016 diserikan dengan pemulaan program "kick-off" iaitu aktiviti bergotong-royong bersama penduduk Hamna Sungai Dua Pulau Pinang membersihkan kawasan perumahan tersebut kelmarin.

Menurut ketua pelajar terlibat, Muhammad Ashraf Bin Kamarul Zaman dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, objektif aktiviti ini adalah untuk membawa mahasiswa turun bergaul bersama masyarakat justeru membina hubungan antara kedua pihak.

"Aktiviti gotong-royong ini merupakan salah satu daripada aktiviti kesukarelawanan yang dapat disumbangkan oleh USM kepada masyarakat sekitar untuk kelangsungan kelestarian dari aspek kebersihan," katanya.

Ashraf juga menyampaikan hasratnya supaya dapat dipelbagaikan lagi usaha murni ini selain dari aktiviti bergotong royong, mungkin dapat diadakan kerjasama jawatankuasa persatuan pelajar bersama wakil masyarakat untuk membincangkan isu-isu terkini masyarakat supaya mahasiswa lebih peka akan perkembangan terkini serta membina kesedaran akan peranan mahasiswa terhadap masyarakat.

Sementara itu, penduduk Hamna juga mengucapkan terima kasih kepada pihak USM dengan aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan ini kerana sedikit sebanyak kebersihan di kawasan ini terpelihara.

Seramai 20 orang peserta terlibat dan diiringi 6 staf Pusat Islam dan Pusat Sejahtera bersama JKKK Penduduk Hamna Sungai Dua Pulau Pinang.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 827

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024