USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK 'SATREPS' TINGKAT KECEKAPAN PENGURUSAN BENCANA NEGARA

PULAU PINANG, 20 Mac 2016 - Projek "Research and Development for Reducing Geo-Hazard Damage in Malaysia Caused by Landslide and Flood" adalah salah satu projek SATREPS (Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development) pertama di Malaysia melibatkan institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan Jepun.

Demikian kata ketua projeknya, Profesor Dr. Habibah Hj. Lateh baru-baru ini dalam Majlis Penyerahan Projek SATREPS di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

"Program SATREPS ini banyak menggalakkan penyelidikan diperingkat antarabangsa dalam mensasarkan isu-isu global seperti alam sekitar dan pencegahan bencana alam," katanya.

Menurut Habibah, keseluruhan objektif projek ini ialah untuk mencadangkan sistem amaran awal dalam pengurusan risiko tanah runtuh dan banjir dengan mengintegrasikan output ramalan tanah runtuh dan banjir yang telah dihasilkan melalui penyelidikan ini ke dalam sistem maklumat untuk penyebaran dan perancangan amaran awal.

Pun begitu katanya, sistem amaran awal (EWS) yang akan dibangunkan merupakan alat komunikasi risiko untuk digunakan dalam pentadbiran dan penduduk tempatan menepati standard yang ditetapkan serta output kajian ini amat berguna kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan di Malaysia dan diharapkan dapat dipertimbangkan dalam perlaksanaan program pengurusan bencana negara.

"Dalam projek ini, lima kumpulan penyelidik berdasarkan kepakaran telah dibentuk dan bekerjasama secara bersepadu iaitu kumpulan remote sensing dan sisten maklumat geografi, banjir, tanah runtuh, pangkalan data dan perancangan dan penyebaran sistem amaran awal (EWS)," jelasnya.

Tambah Habibah lagi, projek ini mendapat dana sebanyak RM13 juta dari Jepun manakala RM 5.2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk dilaksanakan.

Projek ini melibatkan kerjasama antara universiti-universiti dan agensi Malaysia dan juga Jepun antaranya USM, UNITEN, Multimedia University, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Malaysia, Jabatan Kerja Raya (PWD) Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Slopewatch; dari Jepun pula University of Tokyo, Chiba University, Ibaraki University, The International Centre for Water Hazard & Risk Management (ICHARM), Kansai University, Kyushu University, National Research Institute for Earth Science and Disaster Prevention (NIED), Niigata University, Nippon Koei dan Vision Tech Incorporated (VTI).

Projek ini juga disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Japan International Cooperation Agency and Japanese Science & Technology Agency.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain

  • Created on .
  • Hits: 839

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024