BENGKEL ‘1ST MALAYSIA GI FUNCTION AND MOTILITY WORKSHOP 2016’ KUMPUL PAKAR GASTROENTEROLOGI SELURUH MALAYSIA
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengumpulkan pakar gastroenterologi seluruh Malaysia dengan menganjurkan Bengkel ‘1st Malaysia GI Function and Motility Workshop 2016’ untuk memberi tumpuan kepada penilaian dan pengurusan gangguan fungsi motilitas gastro-usus secara keseluruhannya.
Gastroenterologi adalah salah satu cabang ilmu perubatan yang berkaitan dengan fungsi normal dan pelbagai penyakit pada seluruh sistem pencernaan yang meliputi kerongkong, pundi hempedu, pankreas, hati, saluran hempedu, usus halus, usus besar (kolon) dan rektum.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ‘1st Malaysia GI Function and Motility Workshop 2016’, Profesor Madya Dr. Lee Yeong Yeh berkata, bengkel ini diadakan bertujuan untuk membincangkan pelbagai jenis isu-isu fungsi ‘Gastrointestinal’ (GI) dan motilitas yang dihadapi oleh pesakit dalam pelbagai kepakaran perubatan.
“Siapa yang tidak pernah mengalami pedih ulu hati sebelum ini? Mungkin ada yang pernah kembung perut yang biasanya dikaitkan dengan ‘salah makan’ atau ‘angin’? Namun, bagi sesetengah individu, ia adalah satu isu jangka masa panjang yang berterusan serta sering mengakibatkan gangguan kepada aktiviti harian dan menyebabkan pesakit mencuba segala jenis ubat untuk mengurangkan gejala tersebut.
“Simptom-simptom yang dialami juga mungkin berbeza dari satu individu kepada individu lain serta aduan pesakit juga sering diabaikan oleh pengamal perubatan dan tidak disiasat dengan lebih lanjut,” katanya.
Yeong Yeh berkata, dengan adanya bengkel ini, segala persoalan tersebut akan terjawab apabila ia diketengahkan dan dibincangkan dengan lebih terperinci.
Menurut Yeong Yeh lagi, dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, mereka yang mempunyai masalah fungsi GI kebiasaannya mengalami kemerosotan dalam produktiviti kerja dan rutin harian berbanding individu yang mempunyai ‘Gastroesophageal Reflux Disease’ (GERD).
“Minimum waktu yang hilang dalam seminggu untuk GERD adalah 6.3 berbanding 10.3 bagi individu dengan masalah fungsi GI dan penyelidikan tempatan diperlukan untuk menentukan sama ada kemerosotan yang sama juga berlaku di Malaysia,” jelasnya.
Tambah Yeong Yeh, beliau yakin bahawa bengkel ini dapat mencari jalan penyelesaian untuk semua pihak lebih bersedia dalam menguruskan pesakit dengan lebih baik.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Hotel Renaisance dan dihadiri kira-kira 100 peserta ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato' Dr. Ahmad Razin bin Dato' Haji Ahmad Mahir.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 785