USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PADANG STADIUM HOKI USM TERIMA PENGIKTIRAFAN GLOBAL DARI PERSEKUTUAN HOKI ANTARABANGSA (FIH)

USM, PULAU PINANG, 20 Mac 2016 - Satu lagi kebanggaan dan sejarah telah tercipta oleh Universiti Sains Malaysia (USM) apabila padang Stadium Hokinya menerima pengiktirafan antarabangsa dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Pengiktirafan yang diterima pada 12 Mac 2016 ini adalah 'Certificate of Field Performance', Certified Field Global oleh Presiden FIH Leandro Negre terhadap produk padang hoki ini iaitu sistem 'Edel Triple T EL15' yang dihasilkan oleh 'Edel Grass BV'.

Menurut Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, kini USM memiliki AstroTurf terbaik di Malaysia dan ini merupakan satu penghormatan buat USM kerana FIH telah memberikan pengiktirafan tertinggi di peringkat global malah ini lebih tinggi daripada standard antarabangsa untuk sesebuah padang hoki.

"Ini bermakna USM boleh menganjurkan pertandingan hoki yang berperingkat tinggi selepas ini di sini dan juga penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa USM yang sudah lebih 40 tahun dianjurkan," katanya yang juga Penaung pasukan Hoki Veteran Malaysia (Sultan Azlan Shah).

Tambahnya lagi, diharapkan selepas ini USM mampu untuk memikirkan cara dengan lebih inovatif untuk menarik minat pasukan-pasukan hebat dari universiti di Asia untuk datang dan bertanding di sini yang mempunyai peralatan dan fasiliti terbaik.

Projek ini merupakan kolaborasi antara tiga pihak iaitu Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Jabatan Pembangunan USM dan pihak kontraktor terlibat.

Terdahulu perlawanan pembukaan telah belangsung di padang ini yang menemukan Pasukan Hoki Veteran Malaysia (Sultan Azlan Shah) menentang Pasukan Hoki Veteran USM yang menyaksikan pasukan Hoki Veteran Malaysia ini menewaskan pasukan Hoki USM dengan jaringan 5-3.

Rata-rata pemain yang mencuba padang ini dalam perlawanan pembukaan melahirkan rasa puas hati dengan kualiti padang ini dan berharap dapat ke sini lagi untuk bermain kerana padang ini adalah padang bertaraf antarabangsa.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1337

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024