MINGGU ST. JOHN AMBULANS 2016 SEMARAKKAN SEMANGAT KESUKARELAWANAN
USM, PULAU PINANG, 19 Mac 2016 – Program yang dijalankan sempena minggu St. John tahun ini yang bertemakan “Sihat, Ceria, Harmoni” merupakan satu inisiatif yang murni untuk menyemarakkkan lagi semangat kesukarelawanan di samping menggalakkan serta mendedahkan pelajar St. John Ambulans Malaysia Kor USM tentang konsep libatsama universiti-komuniti (UCE).
Hal ini dinyatakan oleh Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman ketika merasmikan majlis penutupan Minggu St. John bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia pagi ini.
“Program seumpama ini perlu diperbanyakkan lagi bagi menyahut hasrat dan matlamat untuk melatih, memupuk dan mempertajam kemahiran insaniah dalam kalangan generasi muda sekaligus melahirkan graduan yang bersifat holistik seiring dengan persaingan global yang makin sengit,” jelasnya.
Tambahnya lagi, USM yang bertaraf Universiti APEX bukan sahaja menggalakkan siswa-siswi bergiat aktif dalam projek kemasyarakatan sebegini, malah menyokong segala usaha dan program seumpama ini melalui penyediaan prasarana yang lengkap.
“Saya berharap iltizam dan semangat kesukarelawanan yang dipupuk melalui Minggu St. John USM ini dapat memberikan suntikan motivasi kepada semua warga kampus khususnya pelajar St. John Ambulans sendiri untuk melestarikannya dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Minggu St. John 2016, Lim Jia Huei, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan berkata, St. John Ambulans Kor USM mengorak langkah menganjurkan Minggu St. John bersama Pusat Sejahtera USM sebagai satu inisiatif untuk memenuhi agenda APEX yang digalaskan oleh USM.
Lima projek utama telah berjaya dijalankan sempena Minggu St. John 2016 termasuklah Projek Sebarkan Kasih Sayang, Mendekati Masyarakat, Kempen Kesedaran “Gaya Hidup Sihat”, Kempen Kesihatan, dan Explorance.
“Dana dan tajaan sekitar RM 10 ribu yang berjaya dikumpulkan sempena Minggu St. John kali ini digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan semua program Minggu St. John khususnya sumbangan dan dermaan kepada badan kebajikan dan individu yang memerlukannya dengan berpegang teguh kepada moto St. John Ambulans Malaysia iaitu Perkhidmatan Bagi Manusia,” katanya.
“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan dan meringankan beban mereka,” jelasnya.
Majlis penutupan ini dihadiri oleh 174 ahli St. John Ambulans dan 70 pelajar dari sekolah menengah. Turut hadir dalam program ini adalah Pengerusi Rancangan St. John Ambulans Malaysia Kor Universiti Sains Malaysia, Dr. Goh Sang Seong dan Pegawai Turus Negeri (Kadet) St. John Ambulans Malaysia Negeri Pulau Pinang, Encik Ng Kar Hoong.
Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM) / Foto: St. John Ambulans USM
- Created on .
- Hits: 1001