KAJIAN TANAH RUNTUH DAN BANJIR PERKUKUH KOLABORASI MALAYSIA DAN JEPUN
PUTRAJAYA, 17 Mac 2016 – Kejayaan projek ‘Research and Development for Reducing Geo-Hazard Damage in Malaysia Caused by Landslide and Flood’ sebagai antara yang pertama disiapkan di bawah perkongsian pintar melalui 'Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development' (SATREPS) di Malaysia yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak dari negara Jepun.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, menerusi projek ini, pasukan penyelidik berjaya menghasilkan cara efektif untuk menyediakan sistem amaran awal tanah runtuh dan banjir serta sistem pengurusan risiko untuk agensi pengurusan bencana negara merancang menghadapi bencana tanah runtuh dan banjir.
"Kolaborasi antara para penyelidik di dua buah negara ini adalah satu usaha bagi pengurusan pencegahan dan juga merupakan aspirasi negara dalam pendidikan tinggi yang berfokus kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menyumbang kepada usaha menghadapi bencana alam," katanya di Majlis Penyerahan Balik Output Projek Penyelidik ini kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia hari ini yang dihadiri hampir 500 orang.
Tambahnya lagi, kolaborasi penyelidikan antara Malaysia dan Jepun ini harus dibanggakan kerana ia menyerlahkan kebolehan perkongsian kepakaran dan ilmu yang digunakan untuk mengurangkan kadar kematian dan kecelakaan akibat bencana tanah runtuh dan banjir.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching pula berkata, projek ini telah meningkatkan kecekapan pemindahan ilmu antara dua buah negara dan juga pembangunan modal insan berkaitan pengurusan bencana alam.
Usaha yang dipimpin dan diterajui oleh USM ini amatlah baik bagi memastikan kejayaan dalam operasi pengurusan bencana negara di samping dapat digunakan oleh agensi-agensi yang berkaitan dalam menghadapi situasi bencana seperti ini," katanya yang membaca teks ucapan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Dato' Seri Idris Jusoh.
Sementara itu, wakil duta Jepun ke Malaysia, Kohei Nakamura pula menegaskan negara Jepun akan terus menyokong Malaysia dan bersedia untuk berkongsi ilmu dalam menjayakan projek sebegini."Ini merupakan kejayaan terbaik di antara dua buah negara ini dan pihak Jepun berharap ini adalah suatu permulaan untuk lebih banyak lagi kolaborasi akan datang dan menjurus ke arah global," katanya yang membaca teks ucapan Duta Jepun ke Malaysia.
Projek ini melibatkan kerjasama antara universiti-universiti dan agensi Malaysia dan juga Jepun antaranya ialah USM, UNITEN, Multimedia University dan beberapa buah jabatan iaitu Jabatan Parit dan Saliran Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Slopewatch serta melibatkan pihak dari negara Jepun iaitu University of Tokyo, Chiba University, Ibaraki University, The International Centre for Water Hazard & Risk Management (ICHARM), Kansai University, Kyushu University, National Research Institute for Earth Science & Disaster Prevention (NIED), Niigata University, Nippon Koei dan Vision Tech Incorporated (VTI).
Projek ini juga disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Japan International Cooperation Agency and Japanese Science & Technology Agency.
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1348