USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CRISTAL MUDAHKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ALGEBRA

USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) telah berjaya menggondol satu pingat emas di pertandingan ‘Innovative Practices in Education and Industry Exhibition 2016' (I-PEINX '16) yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada dua orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.), Nur Azlina Mohamed Mokmin, Isyati Suparman dan seorang pensyarah PTPM, Profesor Madya Dr. Mona Masood dengan rekacipta bertajuk ‘Case-based Reasoning Intelligent System for Tutoring Algebra Learning (CRISTAL)’ menerima anugerah emas bagi kategori Sains dan Teknologi dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan trofi.

Mona berkata, produk yang dihasilkan ini adalah aplikasi yang dibangunkan dengan menggunakan algoritma kecerdasan buatan untuk pembelajaran matematik secara peribadi.

Algoritma penaakulan berasaskan kes ini mengecam profil dan gaya pembelajaran Matematik pelajar untuk menyesuaikan bahan pembelajaran dengan gaya pembelajaran pelajar tersebut.

“Empat bahan pembelajaran telah dibangunkan untuk menampung perbezaan gaya pembelajaran dalam pembelajaran pecahan algebra: Bahan pembelajaran masteri, bahan pembelajaran pemahaman, bahan pembelajaran ekspresif kendiri, dan bahan pembelajaran interpersonal,” jelasnya yang turut memenangi anugerah 'Best of the Best' kategori Sains dan Teknologi.

Mona berharap aplikasi yang dibangunkan dapat membantu pelajar peringkat politeknik untuk lebih cekap dalam topik pecahan algebra.

“Walau bagaimanapun, CRISTAL boleh diadaptasikan pada peringkat pengajian sekolah menengah dan dikembangkan kepada topik yang lain juga,” tambahnya.

Penganjuran I-PEINX’16 ini merupakan pertama kali diadakan oleh Fakulti Pendidikan UTM bertujuan menggalakkan lebih banyak ciptaan inovasi dan reka bentuk di peringkat pengajian tinggi dan industri di Malaysia di mana sebagai satu platform mengumpul idea-idea kreatif dan inovatif dalam pelbagai aspek yang boleh meningkatkan kualiti dan produktiviti rekacipta.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 754

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024