CenPRIS SEBAGAI PERINTIS PUSAT PENYELIDIKAN DASAR
USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2016 – Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) berusaha menjadi sebuah pusat penyelidikan dasar yang penting bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia dalam pelbagai bidang sosio-ekonomi, pembangunan masyarakat, isu-isu sosial dan lain-lain yang memberi impak kepada masa hadapan masyarakat.
Menurut Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, salah satu bidang yang akan diberi tumpuan ialah penyelidikan dalam perdamaian di peringkat global.
"Universiti Sains Malaysia (USM) baru sahaja menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SOKA University dan TODA Institute for Global Peace and Policy Research bagi tujuan tersebut.
"Kita juga akan membuat penyelidikan dalam bidang dasar awam dengan kerjasama University of Bath daripada United Kingdom selain menawarkan satu program ijazah kedoktoran dalam bidang ini yang mungkin akan dilaksanakan pada 2017," tambah Azeem Fazwan.
Selain itu, CenPRIS juga akan menjayakan projek penyelidikan dalam bidang sains penuaan dengan kerjasama Pusat Pengajian Kajian Hayat USM dan beberapa institusi Jepun yang akan dijalankan dalam masa terdekat.
"Ini juga merupakan satu dasar yang perlu dilihat secara komprehensif oleh kerajaan Malaysia kerana jangka hayat penduduk di Malaysia kian meningkat dan menjadi satu cabaran kepada masyarakat dan negara," tambah beliau.
Usaha CenPRIS untuk menjadi pusat penyelidikan dasar yang terus relevan dalam menggubal dasar yang sesuai dengan kepentingan rakyat dan dasar negara terus diperkukuhkan lagi dengan kajian inventori kampung di Pulau Pinang baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan oleh CenPRIS adalah untuk membantu pembuat dasar dan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan negara tanpa menganggu warisan dan sejarah di sesuatu kawasan.
CenPRIS yang dahulunya adalah Pusat Penyelidikan Dasar telah banyak menghasilkan kajian-kajian utama dalam bidang sosio-ekonomi dengan merintis pelbagai projek seperti kemiskinan dan mikro kredit yang melahirkan Amanah Ikhtiar dan TEKUN yang diangkat sebagai projek nasional.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1585