KARNIVAL KERJAYA 2016 BUKA PELUANG KERJAYA KEJURUTERAAN
USM, KAMPUS KEJURUTERAAN, NIBONG TEBAL, 17 Mac 2016 – Karnival Kerjaya 2016 yang berlangsung pada 16 dan 17 Mac 2016 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi landasan utama bagi pelajar Kejuruteraan tahun akhir untuk merebut peluang pekerjaan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman sebanyak 65 buah syarikat yang terlibat dalam karnival ini adalah yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia dan mempunyai potensi tinggi kepada pelajar untuk bekerja pada masa hadapan.
“Pelajar Kejuruteraan sepatutnya tidak mempunyai banyak halangan untuk mendapatkan pekerjaan namun perlu mantapkan kemahiran insaniah yang sedia ada seperti yang diinginkan oleh majikan,” katanya.
Naib Canselor turut menjelaskan bahawa aspek yang paling penting perlu ada di dalam diri siswazah USM pada zaman globalisasi ini ialah daya saing yang tinggi dan bukan tertumpu kepada CGPA semata-mata.
Tambahnya lagi hal ini penting bagi memastikan mereka sentiasa berada di hadapan dalam sebarang aspek dan merebut setiap peluang keemasan yang datang serta menyerlah dalam kepimpinan dan kemahiran yang perlu digilap dalam diri setiap individu agar keyakinan dan keberanian untuk menjadi lain daripada yang lain sentiasa ada.
“Syarikat yang terlibat sepanjang karnival ini berlangsung mempunyai latar belakang yang memberangsangkan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), oleh itu para pelajar perlu bersedia dan peka untuk menjadi sebahagian daripada organisasi syarikat yang terkemuka dalam bidang kejuruteraan di Malaysia ini,” katanya.
Tambahnya lagi, fokus utama karnival ini diadakan adalah memastikan seramai mungkin pelajar kejuruteraan berjaya diambil bekerja kerana semua syarikat yang terlibat adalah di dalam bidang kejuruteraan serta lima buah syarikat dari Singapura yang turut berminat untuk mengambil siswazah kita bekerja,” tegasnya lagi.
Penolong Naib Canselor dan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula berkata, sambutan yang diterima untuk karnival ini sangat memberangsangkan dengan lebih 1500 orang pengunjung hadir ke karnival ini termasuk dari universiti luar
“Kami amat berbangga dan berpuas hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima sempena Karnival Kerjaya kali ke-10 diadakan di Kampus Kejuruteraan ini. Hal ini membuktikan bahawa kita telah berjaya menghasilkan Graduate Employability (GE) yang tinggi dalam kalangan pelajar USM,” katanya lagi.
Antara lima buah syarikat dari Singapura yang terlibat dalam karnival kali ini adalah GlobalFounderies, Keller Asean, dan Realtek Singapore.
Teks : Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 1118