BUDDIES USM BANTU PELAJAR ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan International Student Buddies (BUDDIES) yang berfungsi sebagai sukarelawan siswa antara pelajar tempatan dan antarabangsa yang berada di USM.
Buddies diselia dan dipantau oleh International Mobility and Career Centre (IMCC), dan mempunyai 40 orang ahli. Buddies telah bermula semenjak 2001 dan masih diteruskan hingga kini. Antara matlamat IMCC melalui Buddies ini adalah mewujudkan interaksi antara pelajar antarabangsa dan tempatan dari aspek pergaulan dan bahasa.
Naib Presiden Buddies, Adi Yusran Mohamad Radzi, 25, berkata terdapat program pertukaran budaya iaitu International Culture Fiesta (ICF) yang memberi peluang kepada pelajar antarabangsa memperkenalkan budaya mereka kepada siswa di USM.
“ICF telah diadakan sebanyak dua kali, pertama di Kampus Kesihatan dan kedua di Kampus Kejuruteraan, dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” jelasnya.
“Buddies turut mengadakan aktiviti santai seperti ‘coffee hour class’ di mana pelajar asing menjadi guru kepada pelajar tempatan dan mengajar mereka bahasa asing seperti bahasa Finnish dan German. Aktiviti ini membantu pelajar untuk berkomunikasi dua hala menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan bahasa asing untuk berinteraksi,” katanya.
Penyertaan Buddies terbuka kepada semua siswa USM yang berminat untuk menyertainya dan tiada yuran dikenakan. Pelajar yang berminat wajib untuk menghadiri temuduga, hebahan dan maklumat mengenainya akan dibuat melalui laman sosial Facebook Buddies USM.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 930