USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM GESA KAJI DASAR PEMBANGUNAN KAMPUNG WARISAN

IMG 0028gh

USM, PULAU PINANG, 16 Mac 2016 – Satu inventori yang berwibawa perlu diwujudkan untuk membantu mereka yang terlibat dalam pembangunan dari pihak kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua pemegang taruh termasuk orang ramai terutamanya yang melibatkan kampung warisan untuk dilestarikan dalam memahami sejarah lalu dan masa hadapan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk mempelawa serta mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam menjalankan kajian komprehensif dan menyediakan inventori berkenaan dalam memelihara dan memulihara kampung-kampung warisan di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi mengetengahkan isu semasa yang memperlihatkan kampung-kampung tradisi dan warisan yang menyimpan pelbagai sejarah dan kisah menarik mengenai Pulau Pinang yang semakin lenyap, pupus dan dihimpit arus kemodenan.

IMG 0030gnhg 

“Saya mengalu-alukan pelbagai pihak sama ada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan para akademia USM untuk memelihara dan memulihara kampung-kampung warisan di sekitar Pulau Pinang yang mana ketika ini sebanyak 28 buah kampung berada di ambang kepupusan dan dianggarkan lebih 50 buah kampung lagi diancam kepupusan,” kata Azeem Fawzan.  

Tambahnya, kewujudan kampung-kampung warisan di Pulau Pinang akan lenyap sepenuhnya jika tiada sebarang usaha untuk mengekalkan dan memelihara kewujudannya, selain turut menjadikan penduduk yang mewarisi penempatan tinggal dalam keadaan tertekan.

Pensyarah kunjungan  CenPRIS, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican pula berkata punca utama masalah ini ialah buta sejarah dan kegagalan untuk memahami latar budaya dan kepentingan warisan sedemikian serta perilaku pihak bertanggungjawab dan juga populasi kampung berkenaan apatah lagi  kekeringan ilmu dalam menangani masalah ini.

IMG 0057g

“Oleh yang demikian, kami berpendapat akademia perlu mendidik serta memberikan kesedaran kepada golongan-golongan ini termasuk orang ramai bagi menganjak paradigm terhadap kepentingan perkara ini,” tambah Ahmad Murad yang juga penulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang.

Seorang lagi pensyarah kunjungan CenPRIS  Professor Emeritus Dr. Omar Farouk bin Sheikh Ahmad berkata, kajian impak dan usaha melakukan inventori ini penting kerana berdasarkan hasil daripada kajian awal ini, CenPRIS mendapati banyak perkara yang boleh diperbaiki iaitu dari segi cara berfikir, tadbir urus, gaya hidup dan juga potensi yang besar dapat kita lihat daripada hasil pembangunan tersebut.

"Kajian ini penting sebagai asas pembangunan dasar masa hadapan yang berkaitan perkara ini," kata Omar Farouk.

IMG 0070tht

Antara kampung yang dihimpit isu ini termasuklah Kampung Siam, Kampung Mutiara, Kampung Tanjong Tokong, Kampung Batu Uban, Kampung Dodol, Kampung Makam dan Kampung Tengah di Air Itam, Kampung Tengah Jelutong dan pelbagai lagi.

Teks: Nor Rafizah Haji Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1007

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024