TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN MELALUI CEO FACULTY PROGRAMME
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2016 - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pegawai Kumpulan (Bakat) Axiata Group Berhad Datin Sri Badrunnisa Mohd Yasin Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Engineering Berhad Rohaida Ali Badaruddin telah dilantik sebagai mentor Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan CEO Faculty Programme 2016 di Hotel Hilton Kuala Lumpur kelmarin.
Menurut Badrunnisa, perasaan keterujaan tidak dapat disembunyikannya kerana terpilih untuk bersama USM lebih-lebih lagi USM adalah sebuah universiti ternama dan terbaik dari segi ranking serta mempunyai pelajar-pelajar yang hebat.
"Kepimpinan dan 'soft skills' akan dijadikan bahan utama untuk dikongsi oleh saya kerana dari segi akademik mungkin saya tidak dapat mencabar para pelajar ini tapi dari segi komunikasi, pemikiran kritikal dan lain-lain dapat saya jadikan bahan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan modal insan untuk mengharungi dunia yang makin mencabar ini," katanya.
Tambahnya lagi, program ini adalah program yang baik kerana ia dapat menghubungkan CEO dalam memberi khidmat nasihat dan kuliah kepada universiti dan merupakan antara sumbangan khidmat untuk negara dari industri.
Sementara itu, Rohaida pula melahirkan kegembiraan dengan pelantikan ini dan melihat ke hadapan untuk bertemu para pelajar USM.
Menurutnya, beliau akan berusaha untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pentas antarabangsa selama 16 tahun yang dimilikinya berurusan dengan pelbagai negara antarabangsa khususnya kerana dengan perkongsian ilmu ini, para pelajar dapat sedikit sebanyak mempunyai nilai tambah untuk menjadikan bekalan apabila tamat pengajian kelak untuk diaplikasikan.
Jelasnya lagi, program ini adalah inisiatif yang baik dalam pembangunan negara dan kecemerlangan bakat generasi akan datang.
Terdahulu majlis menyaksikan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ucapan alu-aluan dari Menteri Pendidikan Tinggi Dato' Seri Idris Jusoh.
Kementerian telah memperkenalkan program ini untuk memperhebatkan penyertaan sektor industri dan sektor awam sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang berobjektif melahirkan graduan holistik berciri keusahawan dan seimbang, kecemerlangan bakat dan mewujudkan ekosistem inovasi melalui program ini.
Lebih 300 tetamu hadir ke majlis ini yang menghimpunkan para pengamal dari industri serta juga para pegawai tertinggi dan utama institusi-institusi pendidikan tinggi negara.
Turut hadir dalam majlis ini dari USM adalah Naib Canselor Prof. Dato' Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Prof. Dato' Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Kolaborasi Komuniti dan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Syed Yusof Syed Kechik, Dekan PP Siswazah Perniagaan Prof. Dr. Azlan Amran.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 1161