USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN YRU PERKUKUH HUBUNGAN NEGARA ASEAN

USM, PULAU PINANG, 16 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan hubungan akrab dengan universiti di negara-negara ASEAN.

Penolong Naib Canselor USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Che Mahmood hari ini menerima kunjungan delegasi Yala Rajabhat University (YRU) yang diketuai oleh Naib Presidennya, Profesor Madya Somsak Dandecha.

Menurut Wan Ahmad Kamil, USM kini giat menjalinkan hubungan bersama-sama universiti di negara ASEAN melalui pertukaran pelajar mahupun pengambilan pelajar-pelajar dari negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina dalam mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan negara ASEAN.

“Kita sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalankan kolaborasi dengan mana-mana universiti dalam meningkatkan pencapaian akademik mahupun penyelidikan,” katanya.

Jelas beliau, kerjasama yang akan dijalinkan boleh memberi fokus kepada bidang pengajian di pelbagai pusat pengajian termasuklah pembangunan program-program akademik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.

Sementara itu, Somsak Dandecha pula berharap kunjungan tersebut akan merealisasikan kerjasama dalam perkongsian kepakaran terutama dalam bidang pendidikan kerana YRU merupakan sebuah universiti yang berfokuskan kepada bidang pendidikan yang melahirkan para pendidik di Thailand.

“Kunjungan ke USM telah banyak memberi manfaat terutama kepada 46 orang pelajar Sarjana Ilmu Pendidikan yang turut sama mengikuti lawatan kali ini di samping dapat berkongsi idea dan pendapat bersama-sama pelajar USM dalam bidang yang sama,” jelasnya.

Somsak Dandecha berharap dapat memperkukuhkan kerjasama antara universiti di Malaysia dan Thailand dalam semangat kesepakatan ASEAN terutama dalam bidang pendidikan dan kepakaran yang ada di USM dan YRU.

YRU merupakan sebuah universiti awam yang pada awal penubuhannya hanya berfokuskan kepada bidang pendidikan tetapi pada tahun 2004, YRU telah mengembangkan kepada bidang-bidang yang lain seperti Sains Sosial, Pengurusan dan Sains Tulen.

Delegasi ini turut mengunjungi Institut Pengajian Siswazah USM dan beberapa pusat tanggungjawab USM yang lain.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 602

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024