SIMULATOR PESAWAT DAN PERANTI MUDAH ALIH DI HARI FIZIK 2016
USM, PULAU PINANG, 10 MAC 2016 - Buat julung kalinya sejak tahun 1969, Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengadakan ‘Hari Fizik 2016’ pada hari Selasa, 29 Mac ini di perkarangan PPSF bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Menurut Pensyarah Kanan PPSF, Dr. Kussay N.Mutter, program ini memberi peluang kepada pelajar pascasiswazah dan pelajar tahun akhir PPSF mempersembahkan hasil kerja dan kreativiti mereka misalnya simulator pesawat dan peranti mudah alih kepada syarikat luar seperti Osram, Intel, Canon, Samsung, Rero dan Usains Infotech Sdn. Bhd.
“Program yang disifatkan terbuka ini juga memberi peluang kepada komuniti kampus meneroka makmal fizik dan berinteraksi melalui aktiviti-aktiviti menarik yang akan dijalankan," katanya.
Menurut beliau yang juga Pengarah Projek, ‘Hari Fizik 2016’ telah dirancang sejak November lalu untuk djadikan program tahunan di PPSF.
Program ini turut dimeriahkan dengan gerai jualan makanan, minuman dan pakaian terpakai yang dikelolakan oleh Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi Fizik (KESUREF) yang terbuka kepada warga kampus dan luar kampus untuk berniaga dengan mengenakan bayaran sebanyak RM50 untuk satu tapak.
Yang berminat untuk menyewa gerai boleh berhubung dengan Nur Hasniza Abdul Rahim - 04-6532479) dan Junaidah Abu Bakar - 04-6535109.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 809