USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUHAMMAD AKMAL DAN WAN NUR ZABIRAH DINOBAT QARI DAN QARIAH

IMG 20160316 WA0000

KUBANG KERIAN, 13 Mac 2016 - Muhammad Akmal Samsuddin dan Wan Nur Zabirah Mohd Zaki dinobatkan sebagai Qari dan Qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2015/2016.

Pemenang masing-masing menerima wang RM500, Piala Pusingan dan Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Dan Alumni) USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Pusat Mahasiswa, Kampus Kesihatan semalam.

Pelajar tahun 1 dari Desasiswa Nurani, yang mengikuti kursus perubatan, Muhammad Akmal, 19, ketika ditemui berkata, kejayaan yang diperolehi adalah dorongan kuat dari keluarga sendiri yang mana hampir semua keluarga beliau menceburi bidang ini.

IMG 20160316 WA0001

"Saya telah mula menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran sejak di peringkat sekolah rendah lagi dan kini di peringkat universiti saya memperkemaskan lagi bacaan dengan membuat latihan pada setiap kali selepas maghrib.

"Syukur di atas kemenangan ini dan saya berharap rakan-rakan lain akan dapat mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran walaupun masing-masing sibuk dengan pengajian," katanya.

Manakala pelajar tahun 1, Pengajian Seni, Wan Nur Zabirah Mohd Zaki, 22, dari Desasiswa Indah Kembara pula berkata saingan amat sengit kerana setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing, cuma saya hanya lakukan yang terbaik dengan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

"Saya akan jadikan ulasan dan komen daripada juri untuk memperbaiki lagi tahap bacaan pada masa hadapan," ujar beliau.

IMG 20160316 WA0002

Menurut ketua juri, Ustaz Khairul Azwar Alias, kesemua peserta dinilai melalui beberapa aspek iaitu dari segi nada suara, taranum, kelancaran dalam bacaan, wakaf dan tajwid serta amat berharap kepada peserta yang lemah pada bahagian tertentu agar dapat memperbaiki lagi bacaan mereka melalui pembelajaran secara berterusan dengan ustaz dan ustazah.

Seramai 21 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini iaitu dari Desasiswa Nurani, Lembaran, Cahaya Gemilang, Jaya Utama, Restu, Fajar Harapan, Tekun, Saujana, Aman Damai, Indah Kembara dan Desasiswa Murni yang merupakan tuan rumah bagi sidang kali ini.

Turut hadir sama, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Haji Wan Nudri Wan Daud dan Penggawa Desasiswa Murni, Dr. Raja Azman Raja Awang.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1020

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024