USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ADAKAN BENGKEL SIMULASI PEMBEDAHAN UNTUK KANSER DI KEPALA DAN LEHER

IMG 1289

KUBANG KERIAN, 12 Mac 2016 – Buat pertama kalinya, Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan ‘USM Head and Neck Cadaveric Workshop 2016’ yang merangkumi tiga segmen serentak dan juga yang pertama dibuat di Pantai Timur.

Bengkel yang dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Profesor Dr. Ahmad Sukari Abdul Halim  ini berlangsung selama tiga hari di Makmal Pelbagai Guna 2, Dewan Bedah dan Dewan Kuliah 4 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu teori, ‘Cadaveric Dissection’ dan ‘Live Surgery’ yang semuanya berfokuskan kepada rawatan kanser di bahagian leher dan kepala.

Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Jabatan ORL-HNS yang juga Pengarah Bengkel, Dr. Norhafiza Mat Lazim, bengkel ini adalah untuk memahirkan lagi teknik ketika pembedahan melalui ‘hands-on’ pada ‘Cadaver’ iaitu mayat sebenar dari luar negara yang didermakan untuk tujuan pengajaran.

20160308 094036

“Kebanyakan hospital di Malaysia tidak menganjurkan bengkel seperti ini kerana usaha untuk mendapatkan ‘Cadaver’ ini memerlukan kos dan komitmen pengurusan yang tinggi. Tetapi ia amat berbaloi kerana bengkel ini dapat dijalankan dengan jayanya merangkumi pengajaran teknik pembedahan yang senang hingga ke tahap yang paling sukar.

“Teknik dalam bengkel ini lebih kurang sama dengan pembedahan sebenar dan ini bermakna masa yang digunakan tidak jauh bezanya tetapi secara praktikalnya adalah pengalaman sebenar dan berguna kepada peserta,” katanya.

Pada masa ini tumpuan adalah kepada peserta dalam negara dan dijangka akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa terutamanya negara-negara jiran.

IMG 9846

“Ini adalah penting untuk membawa nama dan kepakaran USM di persada antarabangsa apatah lagi yuran juga adalah  pada kadar yang berpatutan,” jelasnya lagi.   

Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Jabatan ORL-HNS, Profesor Madya Dr. Irfan Mohamad pula, sambutan kepada bengkel ini amat memberangsangkan tetapi bilangan peserta perlu dihadkan bergantung kepada ‘cadaver’ atau kepala mayat yang diterima.

“Setelah mereka menjalani bengkel atau simulasi ini, mereka akan menjalankan pembedahan sebenar tetapi masih memerlukan pengawasan pakar di tempat mereka untuk peringkat permulaan ini.

“Jika ada peluang pada masa hadapan, kita akan buat minggu pembelajaran ENT yang menggabungkan semua jenis pembedahan termasuk pembedahan hidung dan telinga dalam seminggu tetapi peserta boleh pilih untuk datang pada sesi yang mereka pilih dalam minggu tersebut,” katanya.  

Tambahnya lagi, pembedahan bahagian kepala dan leher ini amat sesuai dan penting kerana semua pakar ORL-HNS perlu mengetahui teknik-teknik ini secara terperinci. Pembedahan juga merupakan teknik rawatan yang paling penting untuk kebanyakan kanser tanpa mengira tahap selain radioterapi dan kimoterapi.

Teks & Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 950

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024