ISDEV USM BERSAMA REALISASIKAN 'NEGARA ZIKIR'
USM, PULAU PINANG, 14 Mac 2016 - Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) turut bersama-sama untuk merealisasikan hasrat negara Brunei Darussalam menjadi ‘Negara Zikir’ dengan menjadikan Islam sebagai pegangan dan rujukan utama dalam kehidupan dengan rakyat dan pemerintah yang jiwanya sentiasa mengingati Allah SWT.
Demikian kata Pengarah ISDEV USM, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh yang baru kembali dari negara tersebut sebagai pensyarah penilai di Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Universiti Islam Sultan Sharif (UNISSA).
"Tentu sahaja usaha murni perlu disokong sepenuhnya untuk bersama-sama memastikan aspek keislaman sentiasa diberi penekanan dan diterapkan sepenuhnya dalam usaha menjadikannya realiti.
“Malah ISDEV masih dalam perancangan bersama UNISSA untuk menerbitkan sebuah ensiklopedia lengkap yang memberi gambaran jelas kepada masyarakat tentang konsep negara zikir yang dijangka siap pada 2017,” jelasnya.
Di samping membantu kakitangan dan pelajar dalam teknik penulisan artikel, jurnal dan tesis beliau juga terlibat dalam menjana idea mengenai pembangunan, kemajuan dan perancangan masa hadapan di Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 779