PROSES PENDIDIKAN PENTING UNTUK WUJUD KESAKSAMAAN
USM, PULAU PINANG, 10 Mac 2016 - Proses pendidikan penting dalam usaha mewujudkan kesedaran terhadap kesaksamaan gender.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh, Dr. Amilia Hazreena Hamidon, pendidikan awal kanak-kanak mengenai kesaksamaan gender melalui keluarga adalah penting.
Mengambil contoh dirinya berdasarkan pengalaman ibu bapanya membesarkan empat orang adik-beradiknya menjadi contoh bagaimana hal ini dapat dilakukan untuk membesarkan dua orang anak lelakinya sekarang ini.
“Kita perlu mendidik anak sejak kecil dengan memberi contoh yang baik, misalnya saya dan suami akan bergilir-gilir melakukan kerja rumah malah saya juga membeli peralatan memasak kepada mereka untuk menghapuskan stereotaip memasak dan melakukan kerja rumah adalah kerja kaum perempuan,” jelasnya.
Dr. Amilia Hazreena berkongsi pengalamannya dalam forum sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 anjuran Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertemakan “Pledge for Parity” atau “Ikrar untuk Kesaksamaan” yang membincangkan kesamarataan gender dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Lima ahli panel yang dijemput dalam program ini iaitu wakil Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM, Profesor Madya Dr. Lok Yian Yian, bekas Timbalan Speaker Dewan Perundingan Pelajar (MPP) USM, Nurul Azlinda Ab Razak dan Dr. Amlilia Hazreena.
Lok pula berkata, beliau dan suami menjaga anak lelaki mereka yang kini berumur lima tahun secara bergilir-gilir kerana menjaga anak bukan tugas orang perempuan sahaja sebaliknya adalah tanggungjawab bersama.
“Suami saya banyak bertolak ansur dalam urusan rumahtangga misalnya ketika saya mempunyai urusan di luar pejabat suami akan menjaga anak malah kami pernah berbincang jika suami saya berkecil hati dengan situasi ini tetapi dia tidak menganggap sebagai satu masalah,” jelasnya yang telah berkhidmat dengan USM selama enam tahun di Pusat Pengajian Jarak Jauh.
Nurul Azlinda pula berkata, kebanyakan perempuan menjadi pilihan terakhir untuk dipilih sebagai pemimpin kerana emosi yang tidak menentu namun ada di antara mereka menolak untuk dipilih sebagai pengarah projek dalam aktiviti pelajar kerana tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dan takut untuk bersaing.
Turut memberikan pandangan ialah wakil Wellness Centre St Nicholas Home Penang, Rohani Abdul Wahab dan Pegawai Penyelidik Sosial, Bahagian Pembangunan Institusi USM, Tan Chin Chin.
Menurut Rohani, hidup sebagai seorang OKU dan ibu tunggal kepada empat orang anak bukanlah perkara mudah kerana untuk menyara kehidupan, beliau menggunakan kudrat yang masih ada dengan mengambil upah sebagai tukang urut.
“Selepas ditinggalkan suami, saya bertekad untuk meneruskan hidup dan lebih bersemangat untuk menghadapi cabaran.
"Saya juga berhadapan dengan masalah yang menganggap pekerjaan tukang urut adalah kerja yang dipandang rendah tetapi saya kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan demi masa hadapan anak-anak,” tambahnya.
Menurut penghidap Cerebral Palsy, Tan Chin Chin, selain berisiko untuk diganggu secara seksual dan didera, ramai OKU tidak diberi peluang pendidikan dan pekerjaan sama rata seperti golongan normal.
"Malah, kemudahan untuk OKU juga tidak disediakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan menyebabkan tidak dapat digunakan," kata alumni USM itu.
Tan berharap agar masyarakat mengubah persepsi dan sikap terhadap OKU, menyediakan kemudahan yang bersesuaian kepada golongan OKU serta melibatkan OKU dalam aktiviti sosial yang dijalankan.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 1117