USM MENJADI PILIHAN PELAJAR INDONESIA
USM, PULAU PINANG, 13 Mac 2016 – Sudah lama Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pilihan pelajar Indonesia untuk melanjutkan pelajaran mereka di sini. Pada masa ini, terdapat kira-kira 200 orang pelajar Indonesia yang sedang mengikuti pengajian di sini pada peringkat ijazah pertama mahupun ijazah tinggi.
Pelajar dari Pusat Pengajian Komunikasi, Muhammad Ilman, 19, yang berasal dari Jakarta, mengakui bahawa keunikan USM sebagai universiti Malaysia yang berstatus Program Pemacu Untuk Kecemerlangan (APEX) menjadi dorongan kepadanya untuk mengikuti pengajian di sini.
“USM yang terletak di Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai syurga makanan menyebabkan saya tertarik dengan kepelbagaian makanan tempatan di sini apatah lagi pelajar tempatan yang peramah membolehkan saya mampu menyesuaikan diri setelah berjauhan dengan keluarga,” kata Muhammad Ilman, pelajar tahun dua Sarjana Muda Komunikasi.
Mengakui pada mulanya dia mengalami sedikit kegusaran untuk bergaul dengan pelajar tempatan apabila melihat mereka lebih banyak bergaul sesama sendiri namun dapat mengatasinya apabila sudah saling mengenali antara satu sama lain.
Tambahnya lagi, USM yang mempunyai pelajar dari pelbagai latarbelakang, budaya, agama yang berbeza membolehkan mereka berkongsi dan mempelajari perkara baharu terutamanya dari segi bahasa.
“Saya harap dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mampu bertutur dalam pelbagai bahasa memandangkan USM menawarkan bahasa kedua bagi pelajar yang memungkinkan graduan USM mempunyai peluang pekerjaan lebih tinggi,” jelasnya.
Muhammad Ilman berharap lebih ramai pelajar negaranya akan mengikuti pengajian di sini malah menyeru kepada rakan-rakannya di sana yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat antarabangsa supaya meletakkan USM sebagai pilihan pertama kerana yuran yang berpatutan dan keistimewaan USM sebagai “Universiti dalam Taman”.
Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM) / Foto: Koshigan
- Created on .
- Hits: 1427