USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESTA SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA DISAMBUT MERIAH

IMG 0024hjh

USM, PULAU PINANG, 13 Mac 2016 - Malam Kebudayaan Pesta Amal Tahun Baru Cina ke-10 disambut meriah apabila hampir 2,000 orang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) dari pelbagai kaum untuk meraikannya Jumaat lalu.

Hadir merasmikannya ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Dato’ Seri Ong Ka Chuan yang menyeru agar pelajar sentiasa menjaga tingkahlaku dan moral yang sama penting dengan kejayaan akademik.

“Sama seperti pentingnya mempertahankan seni warisan keturunan nenek moyang turun temurun seperti mana yang ditunjukkan pada malam kebudayaan ini, begitu jugalah penting untuk kita mempertahankan tingkahlaku dan amalan mulia sebagai warisan masa hadapan demi untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya menasihati para pelajar.

IMG 0037hj

IMG 0048ggjh

Tambahnya, sekiranya gagal dalam menjaga tingkah laku, kehidupan kita juga akan dianggap  gagal walaupun kita cemerlang dalam bidang akademik kerana tanpa tingkah laku yang baik dan moral yang tinggi, kita kehilangan arah untuk mencapai kehidupan yang sempurna.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni - HEPA) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor USM pula berkata, keunikan Malaysia tergambar melalui acara seperti sambutan ini yang terpenting bagi masyarakat Cina yang disambut meriah bersama-sama dengan seluruh rakyat yang berbilang kaum seperti ditunjukkan oleh warga USM.

IMG 0069gh

“Selain mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan seluruh warga USM, penganjuran acara sedemikian turut memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman berguna terutamanya dalam aspek pengurusan dan penganjuran aktiviti,” kata Adnan.

Katanya lagi acara sebegini dapat memupuk sifat kepimpinan dan mencungkil bakat yang ada pada diri pelajar supaya dapat meningkatkan keupayaan masing-masing.

Pesta Amal Tahun Baru Cina 2016 ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) USM.

IMG 0141fh

IMG 0145 nb

Pengarah Projek Pesta Amal Tahun Baru Cina Ke-10, Kho Ying Han berkata, Pesta ini bertujuan untuk mengembangkan serta memperkenalkan budaya masyarakat Cina dalam kalangan warga USM.

Dalam majlis yang sama, pihak SKKT telah menderma sebahagian wang yang dikumpulkan berjumlah RM10,000, iaitu RM8,000 kepada SMJK Sacred Heart Balik Pulau dan RM2,000 kepada Yayasan USM.

Sebelum majlis Malam Kebudayaan, jawatankuasa Pesta Amal Tahun Baru Cina 2016 telah menderma barangan harian yang bernilai RM500 kepada PBASCHome.

IMG 0166gn

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan yang menarik seperti tarian tradisional Cina Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian), orkestra Cina SMJK Jit Sin, persembahan Diabolo Universiti Putra Malaysia (UPM), tarian naga, persembahan akrobatik, tarian singa, persembahan Pergendangan 24 Musim Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Perempuan Pulau Pinang (PCGHS) dan nyanyian artis tempatan.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Tan Teik Cheng; Yang Di-Pertua SKKT USM, Chua Swee Hong; Pengarah Projek Karnival Pesta Amal Tahun Baru Cina Ke-10 USM, Samson Chieng Kuan Meng dan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Wang Wee Foong.

Teks: Loh Mei Fang (Pelajar Internship USM) / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1572

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024