USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NUR AMALINA MENJALANI LATIHAN AMALI DI CHINA

PULAU PINANG, 14 MAC 2016 – Calon Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Amalina Muhammad, 28, adalah pelajar pertama yang dihantar menjalani latihan praktikal di China selama dua minggu iaitu di Bose China, bermula 18 April ini. 

Berasal dari Kota Bharu Kelantan, Nur Amalina dihantar oleh Bose System Malaysia Sdn. Bhd. untuk mengikuti latihan Black Belt iaitu peringkat tertinggi dalam Lean Six Sigma. 

Menurut Nur Amalina,  Lean Six Sigma ini tertumpu kepada falsafah industri dalam pengurusan, konsep, dan amalan ke arah penambahbaikan berterusan oleh seluruh organisasi. 

“Saya mengikuti skim Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) dan bakal berkhidmat sebagai pensyarah di sini setelah tamat pengajian pada tahun 2018 nanti,” katanya yang  juga mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Teknologi Pembuatan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, USM.

Nur Amalina yang aktif dalam sukan skuasy  berkata, antara cabaran utama baginya ialah mencari kajian yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat selain bersesuaian dengan keadaan kini dan masa depan. 

“Saya ingin berusaha dan terus berusaha memperbaiki diri dalam pelbagai aspek seperti kehidupan seharian dan pelajaran agar mampu mencapai potensi diri yang paling optimum,” jelasnya. 

Sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajiannya, Nur Amalina berharap dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuannya dalam bidang ini secara berterusan sebagai pensyarah dan penyelidik  yang dapat menyemai pembelajaran secara berterusan sepanjang hayat. Teks : Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi

  • Created on .
  • Hits: 1110

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024