PU MOHAMAD AMIRUL AMIN KUPAS PERANAN WANITA
USM, PULAU PINANG, 11 Mac 2016 – Peranan wanita sangat penting dalam institusi keluarga dan masyarakat. Penglibatan mereka dalam kerjaya dan pada masa yang sama menjalankan tanggungjawab sebagai surirumah adalah sangat mencabar.
Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, martabat wanita mula diangkat tinggi sejak kedatangan Islam sekitar 610 Masihi. Di dalam Al-Quran juga terdapat 114 surah yang menyebut khusus mengenai wanita dari pelbagai aspek.
“Namun fenomena menyedihkan berlaku apabila kaum wanita pada zaman ini mula mendapat ancaman sebagaimana Zaman Jahiliyah dahulu. Bagi membendung masalah ini, masyarakat perlu diberi kesedaran untuk menghargai golongan wanita yang banyak memainkan peranan sebagai penjana kuasa utama dalam kehidupan,” katanya.
Tambahnya lagi, telah menjadi trend masyarakat pada sekarang untuk bercerai pada usia muda yang sebahagiannya berpunca daripada keganasan rumah tangga terhadap wanita. Hal ini berlaku apabila perkahwinan dibina atas dasar cinta dan tidak memfokus kepada ilmu selepas perkahwinan.
“Faktor pemilihan pasangan sebelum mendirikan rumah tangga adalah aspek yang sangat penting. Bangun atau jatuhnya sesebuah ummah adalah bergantung kepada ketinggian martabat kaum wanitanya,” jelasnya.
Mohamad Amirul Amin memberi pandangan sedemikian semasa forum Hak dan Peranan Wanita dalam Masyarakat yang dianjurkan oleh Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) dengan kerjasama Bahagian Hal-Elwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) semalam.
Yang turut menjadi panel dalam sesi ini ialah peguam undang-undang, Cik Natassia Roslan, dan Pemenang Tokoh Siswa 2013, Cik Ju Ariana Ibrahim dengan moderatornya Yang DiPertua Desasiswa Tekun, Cik Siti Zurianah.
Natassia menyentuh mengenai peranan dan hak wanita dari aspek undang-undang negara, iaitu bagaimana wanita yang teraniaya perlu berjuang demi membela nasib mereka sendiri. Manakala Ju Ariana pula mengulas mengenai persaingan sengit antara lelaki dan wanita dalam bidang kerjaya masa kini.
Kira-kira 200 orang pelajar mengikuti forum tersebut.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 786