USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUTIPAN DERMA KHAS BANTU RAKYAT GAZA, SYRIA DAN ROHINGYA

IMG 1345

KUBANG KERIAN, 10 Mac 2016 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru membantu meringankan penderitaan umat Islam di negara-negara yang dilanda kancah peperangan serta konflik kemanusiaan dengan menjayakan Tabung Kemanusiaan Gaza, Syria dan Rohingya.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Haji Wan Nudri Wan Daud berkata, tabung yang mula dilancarkan hari ini itu turut bertujuan membantu negara-negara Islam lain yang ditimpa bencana.

“Akibat serangan demi serangan terhadap penduduk negara Islam ini menyebabkan bantuan perlu disalurkan bagi membiayai makanan dan keperluan ahli keluarga yang kehilangan ketua keluarga dan mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan perubatan.

IMG 1382

“Sumbangan juga perlu untuk membaik pulih kerosakan masjid dan lain-lain kemudahan awam yang diperlukan untuk kegunaan mereka,” katanya dalam program “Bicara Sukarelawan” yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Internasional Relief and Humanitarian Outreach (IReach), di sini hari ini.

Wan Nudri berkata, untuk menjadi umat Islam yang cemerlang dan terbaik, kita perlu banyak menyumbang kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada mereka yang sangat memerlukan pertolongan tidak kira dalam bentuk kewangan, harta, idea, kepakaran ilmu, masa mahupun tenaga.

IMG 1391

“Al-Quran dan hadis telah menerangkan bagaimana untuk menjadi orang yang cemerlang, contohnya untuk dimurahkan rezeki kita perlu banyak bersedekah, untuk menikmati hidup yang bahagia, kita perlu membahagiakan orang lain yang hidup susah manakala untuk mendapat kasih sayang dan pertolongan Allah, kita mestilah mengasihi dan menolong orang lain yang dalam kesusahan,” ujarnya lagi.

Tambah Wan Nudri, Islam sangat menuntut umatnya untuk mengambil berat dan membantu umat Islam lain yang dalam kesusahan tanpa mengira keturunan, warna kulit dan sempadan geografi.

“Kita bersyukur kerana dikurniakan pelbagai nikmat dan dapat hidup dengan aman dan harmoni di bumi Malaysia ini. Namun, kita tidak seharusnya melupakan nasib umat Islam di negara lain yang sekian lama menderita, ketakutan, kesengsaraan akibat peperangan, penyeksaan dan pembunuhan kejam tanpa mengira bayi, kanak-kanak, wanita dan warga emas,” jelasnya.

IMG 1392uyf

Wan Nudri turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada institusi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, rakan masjid, perwakilan pelajar, individu perseorangan serta semua penderma yang turut sama memberi sumbangan bagi menjayakan kutipan derma ini.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 842

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024