USM BERI PENDEDAHAN TENTANG BUDAYA ISLAM
USM, PULAU PINANG, 11 Mac 2016 - Pengalaman belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) memberi peluang kepada pelajar antarabangsa Liang Ya Ge, 26, untuk lebih mengetahui dan memahami budaya dan cara hidup orang Islam.
Menurut Ya Ge yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan), persepsinya terhadap komuniti Islam kini banyak dipengaruhi oleh warga USM yang majoritinya beragama Islam.
"Islam sebenarnya agama yang mendamaikan. Saya dapat belajar tentang cara hidup dan budaya masyarakat Islam di sini kerana pelajar dan staf di sini sebahagian besarnya beragama Islam.
"Komuniti Islam di China tidak ramai seperti di sini. Saya tidak tahu mengenai Islam kerana tidak pernah berjumpa dengan orang Islam di sana," kata Ya Ge yang berasal dari wilayah Henan.
Tambah Ya Ge, dia tidak rasa terasing di sini kerana keramahan pelajar dan pensyarah membantunya untuk menyesuaikan diri.
Selain itu, Ya Ge juga menyukai persekitaran USM yang menenangkan kerana dikelilingi dengan pokok yang besar dan rendang.
Sebelum menyambung pengajian di USM, Ya Ge pernah bekerja sebagai pereka hiasan dalaman selama tiga tahun di Shifang, Sichuan, China.
Teks: Nor Khamisah Saidin (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 696