PENTINGNYA SARINGAN AWAL PENDENGARAN KANAK-KANAK
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2016 – Pendengaran merupakan salah satu deria penting dalam perkembangan bahasa dan pertuturan, terutamanya bagi kanak-kanak dan saringan pendengaran awal sangat perlu untuk mengesan tahap pendengaran.
Pemeriksaan ini diadakan untuk mengesan masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak seusia bayi yang boleh terjadi akibat dari pelbagai faktor antaranya genetik, masalah kekal atau sementara dan jangkitan ketika demam.
Menurut Audiologis Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Dr. Wan Najibah Wan Mohamed, kanak-kanak di peringkat umur dua hingga lima tahun hanya belajar melalui apa yang didengari oleh mereka seharian.
“Adalah penting untuk ibu bapa peka dengan perkembangan atau keabnormalan anak-anak bagi mencegah masalah pertuturan di masa hadapan kelak,” ujarnya.
Tambah Wan Najibah, sekiranya ibu bapa mengenalpasti sebarang masalah berkaitan pendengaran anak-anak, mereka hendaklah segera merujuk kepada pusat rawatan yang berdekatan bagi melakukan ujian saringan awal.
“Ujian saringan selama satu jam ini menggunakan kaedah penggunaan perkataan-perkataan yang biasa dituturkan di peringkat umur kanak-kanak tersebut,” jelasnya lagi.
Wan Najibah berkata, selain itu, proses saringan ini juga dapat dilakukan dengan bermain bersama-sama kanak-kanak serta memainkan muzik untuk melihat reaksi kanak-kanak terhadap bunyian tersebut.
“Rawatan seperti alat bantuan pendengaran akan dipasang sekiranya mereka dikesan mempunyai masalah pendengaran dan ibu bapa yang tidak berkemampuan boleh memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan alat bantuan ini.
“Manfaat saringan awal ini bertujuan menghadkan kemasukan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran ke sekolah-sekolah khas dan dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang normal,” katanya.
Wan Najibah turut menyeru warga Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat sekitar menyertai pemeriksaan ujian saringan pendengaran kanak-kanak yang bertempat di Pusat Audiologi, Hospital USM, Kubang Kerian.
Teks: Nuradlin Syafini, Siti Nur Zainab, Normimi Shahira (Pelajar Internship USM) / Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 1058