PEMBIUSAN DALAM PEMBEDAHAN SATU PROSEDUR PENTING
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Mac 2016 - Prosedur pembiusan yang dijalankan oleh doktor bius sebelum melakukan pembedahan dibuat agar pesakit dibedah tanpa rasa sakit.
Pensyarah dan Pakar Bius Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulfakar Mazlan menjelaskan, prosedur pembiusan boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembiusan penuh (general) dan pembiusan setempat (regional).
“Pembiusan penuh bermaksud pesakit tidak sedar semasa pembedahan dijalankan contohnya pembedahan melibatkan bahagian muka, otak, tonsil, jantung, paru-paru, payudara, perut dan hati manakala pembiusan setempat bermaksud pesakit sedar semasa pembedahan dijalankan contohnya pembedahan uluran (hernioplasty), pembedahan melahirkan anak dan lain-lain.
“Tetapi ia bergantung kepada jenis pembedahan, keadaan pesakit dan kepakaran doktor bius kerana kedua-dua jenis pembiusan mempunyai kelebihan dan risiko yang tersendiri,” katanya.
Menurutnya lagi pembiusan penuh pula boleh dibahagikan kepada beberapa jenis prosedur iaitu pembiusan penuh tanpa ubat pelali dan dan alat bantuan pernafasan, pembiusan penuh tanpa ubat penenang (muscle relaxant) tetapi menggunakan alat bantuan pernafasan dan pembiusan penuh dengan ubat penenang (muscle relaxant) dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Antara persediaan yang perlu pesakit lakukan sebelum pembiusan iaitu pesakit harus menjalani beberapa ujian darah kesihatan dan pemeriksaan fizikal untuk menentukan jenis bius yang sesuai, sehari sebelum pembiusan pesakit akan diperiksa oleh doktor bius dan diberi penerangan mengenai prosedur dan risiko bius, tidak merokok sekurang-kurangnya 6 minggu sebelum tarikh pembedahan, jika tidak berkemampuan, tidak merokok sehari sebelum tarikh pembiusan, tidak memgambil makan dan minuman 6 jam sebelum pembiusan, penjaga perlu hadir semasa pembiusan bagi pesakit yang umur kurang 18 tahun dan makan ubat-ubatan yang diberi mengikut arahan doktor jika menghidap penyakit kronik seperti kencing manis," kata Dr. Mohd Zulfakar.
Tambahnya, sepanjang pembedahan, doktor bius akan mengawasi keadaan pesakit sepanjang prosedur pembiusan dan tempoh pembiusan bergantung kepada tempoh pembedahan.
Dr. Mohd Zulfakar menjelaskan demikian dalam program Doktor Di Radio di sini baru-baru ini.
Teks: Shazleen Hashim / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 1443