MGTF BUKA PELUANG KEPADA SENIMAN
USM, PULAU PINANG, 11 Mac 2016 – Buat julung kalinya pameran lukisan yang bertemakan ‘Life Dream and Art’ oleh Dr. Katsuhiro Sato diadakan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Lebih daripada 50 lukisan menggunakan pen, pensel dan warna berasaskan cat air dan cat minyak dipamerkan untuk orang ramai. Pameran dibahagikan kepada empat peringkat iaitu History, Architectural Design, Japanese Map, How to Think and Challenges.
Pameran ini menceritakan perjalanan hidup Katsuhiro dari kecil di Jepun, pengalaman beliau semasa menjadi arkitek dan sehinggalah beliau menetap di Pulau Pinang.
Menurut Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan, pameran ini ingin menunjukkan kepada pengunjung terutamanya pelajar bahawa asas yang kukuh amat penting untuk menjadi pelukis yang berjaya.
"Katsuhiro mempunyai asas yang baik sebagai pelukis kerana sebelum menjadi seniman, beliau telah mengasah bakat melukis melalui kerjayanya sebagai arkitek," kata Zolkurnian.
Tambahnya lagi, beberapa siri pertemuan dengan pengunjung sempena pameran ini diatur misalnya dengan pensyarah Pusat Pengajian Seni yang akan membawa pelajar untuk menilai seni lukisan yang ada untuk perkongsian ilmu.
Pameran ini akan berlangsung dari 11 Mac hingga 31 Mac sebelum digantikan dengan pameran lukisan baharu, hasil kerjasama MGTF bersama Universiti Thaksin dan Universiti Chiang Mai.
Pameran ini akan diadakan pada 6 April 2016 yang akan diwakili oleh dua pensyarah iaitu Pongsiri Kiddee dan Manee Meemak dengan menampilkan karya seni cetak.
Teks: Nor Khamisah Saidin (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 1022