USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SPEAKER CORNER 12.0 BINCANG ISU KELESTARIAN

USM, PULAU PINANG, 9 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program Kampus Sejahtera mewujudkan ‘Speaker Corner 12.0’ yang memberi peluang kepada pelajar memberikan pandangan tentang pelbagai isu kelestarian.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, yang menghadiri acara pertama yang diadakan di kafetaria Desasiswa Bakti Permai hari ini memuji usaha tersebut yang disifatkannya sebagai bermanfaat kepada pelajar dalam mencungkil bakat untuk pengucapan awam dan meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai.

“Saya berharap agar program kelestarian Kampus Sejahtera diteruskan kerana usaha ini akan menyokong dan membantu USM mendidik warganya sebagai sebuah universiti yang berteraskan kelestarian,” kata Omar.

Acara kali ini berfokus kepada Bahaya Kosmetik yang dipilih oleh Kluster Kesihatan Kampus Sejahtera.  Antara yang dibahaskan ialah penggunaan bahan kosmetik bukan sahaja digunakan oleh kaum wanita tetapi juga kaum lelaki yang semakin obses dengan penggunaan bahan kosmetik yang meniru trend artis luar yang mempunyai kulit yang putih dan mulus.

Sesetengah produk dikatakan mengandungi bahan-bahan terlarang yang memberi kesan kepada pengguna. Pengguna yang bijak perlu memastikan kandungan dalam produk yang digunakan mempunyai unsur semulajadi dan bahan yang benar-benar berkesan serta mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan.

Kira-kira 50 orang pelajar mengikuti acara tersebut. Yang hadir sama ialah Penyelaras Kampus Sejahtera, Mohamad Shafiq Abdul Aziz.

Program ini diadakan tiga kali seminggu yang mengambil masa selama satu jam dengan mengunjungi kafetaria dan ruang legar dewan-dewan kuliah.

Teks: Aishah Hanis Azmi (pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 822

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024