CREATIVE LINK 2016 LESTARIKAN SAINS DAN TEKNOLOGI UNTUK MASYARAKAT
BALIK PULAU, PULAU PINANG, 9 Mac 2016 – Usaha melestari dan membudayakan Sains dan Teknologi kepada masyarakat diteruskan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Northern Skills Development Centre (NSDC) melalui Creative Link (Titian Kreatif) 2016 sebagai pelantar penyebaran ilmu inovatif yang bersifat holistik kepada masyarakat luar.
Program TUNAS melalui payung Titian Kreatif ini adalah salah satu aktiviti menggalakkan konsep kelestarian menerusi bidang sains dan seni kreatif yang bertepatan dengan usaha USM dan NSDC mengetengahkan konsep kelestarian kesenian, pendidikan, penyelidikan, pembelajaran dan juga pengajaran.
Pengarah Kolaborasi Komuniti dan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Syed Yusof Syed Kechik berkata, program seperti ini diharapkan berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan yang progresif dalam mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
“Banyak pengisian aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan melalui program Creative Link ini, sekaligus memberi kesedaran sosial yang memberangsangkan pihak universiti untuk memberi komitmen secara aktif termasuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.”
Hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) merasmikan majlis tersebut, Syed Yusof berkata, walaupun pembangunan sumber manusia merupakan misi utama, USM juga beriltizam untuk sentiasa berkhidmat dan memajukan komuniti dengan menjalinkan hubungan yang saling menguntungkan bersama komuniti.
“Sebagai sebuah Universiti APEX, USM telah membuat penstrukturan semula program-program universiti serta pelaksanaannya bagi memupuk dan memperkasakan komuniti, antaranya dengan memainkan peranan yang proaktif dalam merapatkan jurang antara kaya dan miskin, melalui Strategi Lautan Biru (BOS)," tambahnya lagi.
Creative Link 2016 julung kalinya diadakan di Sekolah Menengah Agama Mahaad Al-Mashoor Al Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Jelas Syed Yusof lagi, pelaksanaan program sebegini melibatkan kakitangan dan pelajar untuk memindahkan bakat, kemahiran dan kepakaran mereka untuk membantu memajukan komuniti.
“Ini sangat bertepatan dengan objektif BJIM iaitu memupuk hubungan yang erat dengan komuniti serta membincangkan isu dan keperluan, cara pendekatan dalam penglibatan kedua-dua pihak dan usaha berterusan demi perkhidmatan yang berkualiti," kata Syed Yusof.
Yang hadir sama ialah Pengarah Projek ”Creative Link 2016” yang juga Pengarah Eksekutif Northern Skill Development Centre (NSDC), Mohamad Pazli Ismail, Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Zolkurnian Hassan dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Mahaad Al Mashoor Al Islami, Ishak Harun.
Program sehari ini mengetengahkan pelbagai aktiviti, menarik minat hampir 500 orang pelajar antaranya pencerapan gerhana matahari, solat dan kutbah gerhana, demo sains, bengkel interaktif indoor flight, pameran dan pencerapan bintang di sebelah malamnya.
Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 896