SOLAT GERHANA: BERSAMA MENGINSAFI KEBESARAN ILAHI
USM, PULAU PINANG, 9 Mac 2016 – Kira-kira 200 orang warga Universiti Sains Malaysia (USM) serta masyarakat sekitar mengadakan solat sunat gerhana di Masjid Al-Malik Khalid, USM hari ini berikutan dengan kejadian fenomena alam gerhana matahari yang berlaku dan telah dapat dilihat seawal jam 7.20 pagi di negara ini.
Solat sunat gerhana tersebut bermula tepat jam 8.30 pagi yang diimamkan oleh Pegawai Hal-Ehwal Islam Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari diikuti dengan khutbah ringkas berkaitan dengan kejadian gerhana, sebagaimana yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran.
Zayd mengingatkan agar semua akan istiqamah untuk menjadi umat yang terbaik dan memberikan peringatan tentang kekuasaan Allah SWT, yang dapat dilihat secara langsung melalui peredaran matahari dan bulan bagi menunjukkan qudrat serta iradah dari Allah yang maha berkuasa seperti kejadian gerhana.
"Gerhana bukanlah satu petanda berkaitan kejadian buruk yang akan berlaku, tetapi lebih kepada memberi peringatan kepada umat manusia tentang kekuasaan Allah SWT seperti mana Rasulullah SAW sendiri anjurkan agar melaksanakan apa jua kebajikan sewaktu berlakunya fenomena gerhana; sama ada dengan melaksanakan solat, berzikir, berdoa, bersedekah atau apa jua kebajikan lain yang termampu.
"Sesungguhnya, kejadian gerhana sebegini diharapkan dapat menimbulkan rasa keinsafan serta meningkatkan keimanan dalam kalangan umat Islam," katanya lagi.
Solat selesai pada pukul 9.00 pagi. Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Islam, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris bin Saleh; Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato’ Ellias Zakaria serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 692