WARGA USM DISERU MENGOPTIMUMKAN PERBELANJAAN
USM, PULAU PINANG, 9 Mac 2016 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru supaya mengamalkan prinsip bekerjasama dalam satu pasukan dalam jabatan selain mengamalkan penjimatan bagi memastikan perbelanjaan dapat dioptimumkan.
“Ruang-ruang yang ada di dalam pejabat serta kemudahan makmal di pusat pengajian dan pusat penyelidikan perlu digunakan secara efektif dan seoptimum yang mungkin, serta menggunakan sumber secara berhemah.
Ketua-ketua jabatan perlu memastikan dan meneliti pembahagian kerja staf masing-masing agar setimpal supaya memikul tugas dengan sewajarnya secara optimum serta saling memahami tanpa perlu mengira tugas hakiki,” kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pagi ini.
Bercakap kepada warga staf Canselori II dan Pusat Pengajian Seni dalam Perhimpunan Bulanan di sini, Naib Canselor meminta agar seluruh warga USM bersama-sama menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.
“Tanggungjawab itu perlu digalas dengan sebaik mungkin melalui kerjasama semua pihak termasuk kakitangan di pelbagai lapisan pentadbiran universiti,” katanya lagi.
Omar turut menggesa supaya para pensyarah dan warga akademik supaya memberi fokus kepada penyelidikan yang mampu memberi impak yang positif selain dapat menyelesaikan permasalahan kepada universiti dan juga negara.
“Para penyelidik individu pula haruslah berdaya saing dengan penyelidik dari luar supaya dapat menerima geran untuk melakukan penyelidikan selain setiap penyelidik di USM mestilah bergabung bersama-sama dalam kalangan pusat pengajian supaya dapat menghasilkan penyelidikan yang baik,” tegasnya.
Selain dari itu, Omar turut menyeru supaya warga USM dapat mentransformasikan pembangunan bakat secara integrasi dan produktif.
Turut memberikan ucapan dalam perhimpunan tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Omar Bidin yang berkongsi pengalaman selama beliau berkhidmat di USM.
“Sebagai seorang yang menerajui sebuah pusat pengajian yang mempunyai banyak cabang pengajian, ianya banyak memberikan pengalaman kepada saya untuk mempelajari pelbagai perkara baru selain dapat menimba ilmu lain,” kata Omar Bidin yang mempunyai pengalaman luas dalam industri rekabentuk dan teknologi produk.
Ketua Pembantu Tadbir Pejabat Perundangan USM, Zulkifli Md Yusoff yang mewakili staf sokongan pula berpesan kepada rakan-rakan yang hadir agar amanah yang diberikan digalas dengan sebaik mungkin dan memastikan kekal relevan dalam universiti.
“Amalkan budaya kerja yang sihat dan keluar daripada rutin kerja harian dengan menerokai peluang-peluang baharu seperti melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti universiti agar bakat dan keupayaan diri dapat dikembangkan sepenuhnya,” katanya yang kini sudah berkhidmat selama 31 tahun bersama USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Ng Yong Hang
- Created on .
- Hits: 658