USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-FIG DIRECT BERKOLABORASI MAJUKAN INDUSTRI BUAH TIN PERTAMA

P1012131 edited

USM, PULAU PINANG, 9 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman  (MoA) dengan Fig Direct untuk tempoh lima tahun untuk  menjalankan kolaborasi penyelidikan kultur tisu untuk pokok buah tin menggunakan teknologi tisu kultur yang efisien dan efektif untuk penghasilan anak pokok berkualiti dari pokok induk. 

Penyelidik USM, Dr. Chew Bee Lynn dan Prof Madya Dr. Sreeramanan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat kini giat menjalankan penyelidikan mikropropagasi pokok buah tin untuk tujuan penghasilan anak pokok berkualiti bagi penubuhan ladang buah tin komersial.

Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menandatanganinya bagi pihak USM manakala Fig Direct diwakili oleh pengarahnya, Robin Lim.

P1012227 edited

“Dengan MoA ini Fig Direct akan membekalkan anak pokok induk dan bahan-bahan yang berkaitan untuk penyelidikan di USM dan pihak Biotech Corp sebagai pengantara di antara pihak industri dan universiti yang akan merealisasikan usaha ini,” kata Omar.

Tambahnya lagi, kerjasama di antara tiga pihak ini akan membolehkan teknologi yang ada dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya bagi membolehkan penghasilan buah tin untuk pasaran dunia dalam jangka panjang, yang pertama kali dimajukan di negara ini secara besar-besaran bukan sahaja untuk tujuan makanan tetapi juga produk sampingan lain yang berasaskan buah tin.

 P1012286 edited

Fig Direct beroperasi sebagai ladang penanaman buah tin yang pertama di Malaysia bertempat di Mukim Temin, Changlun Kedah.

Tanah seluas dua hektar itu mampu menampung sebanyak 12,000 pokok buah tin dan sebagai permulaan sebanyak 6,000 pokok telah berjaya ditanam.

Menurut Robin dengan adanya kolaborasi ini, mereka berharap agar masyarakat tempatan dan penanam di Malaysia tidak hanya menyebarkan anak pokok buah tin melalui kultur tisu tetapi, juga menjamin bahawa tanaman ini mampu memberikan hasil yang baik pada masa akan datang.

“Kami juga berharap dengan pertambahan ladang pokok buah tin yang baru kelak, masyarakat tidak hanya menjual buah tin segar tetapi juga mula berjinak dengan industri hiliran seperti dalam pembuatan jem, jus dan sabun daripada buah tin,” kata Robin.

 P1011825 edited

Penandatanganan memorandum ini juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan rapat antara penyelidik USM, pihak industri, pihak kerajaan dan swasta dalam meningkatkan pengeluaran dan penghasilan makanan asas tani negara untuk pasaran tempatan dan dunia.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1479

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024