USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELUANG DEDAHKAN PELAJAR KEJURUTERAAN KEPADA LEAN SIX SIGMA

P1011462

USM, PULAU PINANG, 8 Mac 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Bose Systems Malaysia Sdn. Bhd. untuk meneruskan latihan jangka pendek Bose Lean Enterprise terutamanya kepada pelajar ijazah pertama yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menandatanganinya bagi pihak USM manakala Bose System Malaysia Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya Ruben Nyul.

BOSE mula ditubuhkan pada 1964 oleh profesor dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat iaitu Profesor Dr. Amar Bose.  Antara prinsip BOSE adalah untuk mengekalkan komitmen yang tinggi untuk penyelidikan.

P1011483

“Saya harap dengan perlanjutan MoA di antara USM melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan BOSE ini akan mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak sebagai rakan kongsi universiti-industri," kata Omar.

Menurut Ruben pula, BOSE mahu mendedahkan pelajar yang terpilih kepada fungsi pelaksanaan Lean Six Sigma yang dapat memberi pengetahuan secara cepat dan menjimatkan masa untuk meningkatkan produktiviti industri dan pengeluaran. 

Lean Six Sigma ini adalah falsafah industri yang terdiri daripada tiga peringkat utama iaitu Yellow Belt, Green Belt dan Black Belt sebagai peringkat tertinggi.

“Matlamat kami adalah untuk mengaplikasikan pengetahuan kami dalam bidang industri menggunakan Lean Six Sigma kepada pelajar secara berterusan,” jelas Ruben.

P1011516

Latihan ini akan diberikan kepada tiga kumpulan pelajar seramai 18-24 orang pelajar ijazah pertama di USM Kejuruteraan. Selain itu BOSE juga menghantar satu-satunya pelajar PhD dari USM Kejuruteraan di dalam bidang Lean System untuk menjalani latihan Black Belt di Negeri China selama dua minggu.

Yang turut sama hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alaudin, Pengarah Sumber Manusia Bose Systems Malaysia Sdn Bhd. Kamaldin Nordin dan Penyelaras Unit Perniagaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik Dr. Khairuddin Mohamed.

Teks: Nur Izzah Atira Muhamad Nazmi (pelajar internship USM) / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 920

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024