MALAM IMPRESARIO ADIKARMA 2.0 DAPAT SAMBUTAN HANGAT
USM, PULAU PINANG, 8 Mac 2016 – Malam Impresario Adikarma (MIA) 2.0 yang bertemakan Hikayat Adikarma, persembahan Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat sambutan hangat melalui persembahan yang diadakan pada 5 dan 6 Mac 2016 lalu. Dewan Budaya yang boleh memuatkan 500 orang penonton dilimpahi lebih 800 orang penonton yang sanggup duduk di atas tangga auditorium.
Pengarah Projek MIA 2.0, Nadhir Rusli Badaruddin berkata, persembahan yang bertujuan menunjukkan keunikan Adikarma sebagai sebuah kumpulan kesenian di USM ini berbeza daripada jalan cerita asal naskah dari Sulatus Salatin Sejarah Melayu mahu pun filem epik Puteri Gunung Ledang.
“Keunikan jalan cerita serta idea dramatari sememangnya mampu memberi nafas baharu kepada USM kerana sudah hampir 11 tahun, tiada sesiapa pun yang berani menyahut cabaran untuk membawa idea dramatari ke USM,” katanya.
Menurut Nadhir, dari segi tarian, mereka telah menggabungkan beberapa elemen artistik moden dan tradisional, manakala dari segi pakaian, mereka telah mengikut kesesuaian watak dan keadaan pada zaman kegemilangan Melaka terdahulu.
“Malam Impresario Adikarma 2.0 kali ini nampaknya telah berjaya menarik minat penonton dan kebanyakan mereka berpuas hati dengan memberi maklum balas yang positif kepada kami,” kata Nadhir.
Harapannya ialah agar Malam Impresario Adikarma ini akan menjadi Program Tahunan bagi Kumpulan Kesenian Adikarma sebagai platform untuk menaikkan nama Adikarma ke peringkat yang lebih tinggi.
Yang hadir menyaksikan persembahan Malam Impresario Adikarma 2.0 ini termaduklah Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey.
Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM) / Foto: Ihsan Adikarma USM Pulau Pinang
- Created on .
- Hits: 832