USM RAIKAN SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2016
USM, PULAU PINANG, 8 Mac 2016 – Bertemakan ‘Pledge for Parity’ atau ‘Berikrar untuk Kesaksamaan’, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 (HWA2016) hari ini disifatkan sebagai platform terbaik bagi meraikan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi dan politik.
Selaras dengan aspirasi ini dan juga tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, Universiti Sains Malaysia (USM) berikrar untuk akan terus mengiktiraf sumbangan, keupayaan dan peranan yang dimainkan oleh warga staf wanita demi memacu kecemerlangan universiti, masyarakat dan negara yang secara langsung melambangkan tekad dan komitmen USM dalam memperjuangkan hak-hak kaum wanita daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Wakil Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey turut menyeru sempena HWA2016 tahun ini supaya semua orang, tidak kira wanita ataupun lelaki, perlu mengambil langkah yang konkrit untuk memastikan kesaksamaan gender dicapai dalam masa yang terdekat.
“Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak mencapai cita-cita mereka, menyeru kepimpinan keseimbangan gender atau “gender-balanced leadership,” menghormati dan menghargai perbezaan nilai, membentuk budaya yang lebih inklusif dan fleksibel di tempat kerja dan sekaligus membasmi ketidaksaksamaan,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, pemberian peluang dan ruang kepada wanita dalam semua aspek kehidupan adalah penting untuk memastikan kesaksamaan gender dapat dicapai. Kesaksamaan gender pula amat penting terutamanya untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan juga membantu mengurangkan jurang kemiskinan dalam masyarakat.
“Saya percaya, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM sebagai sebuah pusat penyelidikan dalam bidang wanita dan gender akan terus gigih untuk mengkaji secara kritikal jurang-jurang yang masih wujud untuk memastikan kesaksamaan gender akan menjadi realiti satu hari nanti,” jelasnya ketika berucap merasmikan HWA2016 peringkat USM di sini hari ini.
Yang hadir sama memeriahkan majlis ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaluddin, dan isteri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Datin Dr. Aishah Knight.
Sementara itu, Pengarah KANITA USM, Profesor Madya Dr. Noraida binti Endut berkata Hari Wanita Antarabangsa disambut saban tahun dan kali ini adalah kali ke-106 diraikan di seluruh dunia pada setiap bulan Mac.
Penganjuran program HWA2016 membawa pengertian tersendiri kepada golongan wanita, malah ia adalah satu bentuk pengiktirafan yang perlu dibanggakan.
Malah, pemilihan tema sambutan kali ini juga cukup penting dalam memperjuangkan hak dan kepentingan wanita, sekaligus mengelak berlakunya diskriminasi dan eksploitasi terhadap golongan itu.
“Dalam merealisasikan tema ini, kita menekankan kepada tiga cara mudah untuk menerapkan elemen berkenaan kepada golongan wanita dengan menghulurkan bantuan kepada rakan karib atau ahli keluarga, tunjukkan betapa penting kehadiran mereka dalam hidup dan ucapan terima kasih," tambahnya lagi.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1515