HAFIZ, SITI ZURIANAH TERUSKAN KEMARAAN REBUT ANUGERAH UTAMA
PUTRAJAYA, 8 Mac 2016 - Dua orang mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang disenarai pendek sebagai calon akhir Anugerah Tokoh Siswa 2015 hari ini berjaya melayakkan diri masing-masing ke pusingan kedua temuduga untuk merebut dua anugerah utama iaitu Tokoh Pemimpin Siswa dan Tokoh Sukarelawan Siswa.
Kedua-dua mereka ialah Sdr. Muhammad Hafiz bin Abd. Rahman bagi Kategori Kepimpinan dan Sdri. Siti Zurianah binti Ismail yang akan bersaing dalam Kategori Sukarelawan.
Mereka berdua sebelum ini telah bersaing bersama 45 orang calon dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara dalam pelbagai kategori anugerah sebelum terpilih bersama-sama tiga orang calon lagi dari UiTM, UNIKL dan UniSZA untuk ditemuduga dalam pusingan kedua yang akan berlangsung di Dewan Umar Al-Khatab, Aras 5, Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu menurut urusetia pemilihan, Cik Idura binti Yaakob, setiap pemenang bagi kedua-kedua anugerah utama ini akan bersaing pula untuk merebut Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi iaitu anugerah tertinggi yang ditawarkan kepada mahasiswa-mahasiswi di Malaysia sebagai penghargaan atas penglibatan masing-masing dalam aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan.
Semua keputusan akan diumumkan dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2015 yang dijadualkan berlangsung pada 23 April 2016 ini di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Teks: Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA)
- Created on .
- Hits: 986