USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPPBP USM TERIMA SUMBANGAN RM40,800 DARIPADA INDUSTRI

IMG 0240hj

USM, PULAU PINANG, 4 Mac 2016 – Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan dana bagi membiayai dua anugerah kecemerlangan pusat pengajian berkenaan berjumlah RM 40,800 daripada Penang Master Builders & Building Materials Dealers Association (PMBBMDA) dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini.

Dana berkenaan akan dianugerahkan kepada pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Pingat Emas Pelajar Terbaik Tahun Akhir PPPBP dan penerima Hadiah Buku kepada Pelajar Terbaik Tahun Akhir daripada Program Pengurusan Pembinaan di PPPBP dalam upacara konvokesyen USM yang akan datang.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan daripada rakan industri yang turut disifatkan sentiasa memberi komitmen padu untuk membudayakan kecemerlangan dalam kalangan siswa-siswi USM.

IMG 0243hj

“USM sedang membentuk golongan pelajar untuk mencabar kemampuan mereka menuju ke persada saingan global. Matlamat menuntut ilmu dan membina kerjaya pada masa kini bukan hanya terhad kepada industri tempatan malah perlu membuka minda untuk menuju ke global.

“Para pelajar perlu memperkukuhkan asas dan menambah kemahiran berkaitan yang membolehkan kita berbeza daripada orang lain, termasuk dalam aspek kualiti dan kreativiti,” katanya sambil menyifatkan USM yang sehingga kini telah melahirkan seramai 97 orang arkitek yang kini berada di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyerahan cek sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh Presiden PMBBMDA, Dato’ Lim Kai Seng. Turut hadir ialah Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.

IMG 0249vhkk

Omar turut melahirkan rasa berbesar hati dan berbangga kerana USM berpeluang bekerjasama dengan syarikat pembinaan yang besar dan ternama di Pulau Pinang dan komited untuk memperluaskan lagi skop kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Lim Kai Seng pula berkata, pihaknya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan USM dan ia disifatkan sebagai langkah permulaan kepada lebih banyak kolaborasi, temasuk merebut peluang untuk terlibat dalam aktiviti pelajar seperti latihan industri, program kerjaya, penyelidikan dan pembangunan bersama.

“PMBBMDA amat berharap dengan adanya kerjasama antara USM ini akan membantu pelajar terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan pengalaman kerja di dunia sebenar.

“Kita turut mengalu-alukan kolaborasi bersama USM dan berharap USM akan terus berdiri teguh dan bersinar bersama dengan industri pada masa akan datang,” katanya.

Teks: Nur Izzah Atira Muhamad Nazmi / Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1089

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024