USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. SYED AZHAR TERIMA ANUGERAH ANTARABANGSA

USM, PULAU PINANG, 8 Mac 2016 – Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman mendapat pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang Farmasi Klinikal sempena Jubilee Emas 50 tahun Fakulti Farmasi Universiti Khartoum Sudan baru-baru ini.

Menurut Syed Azhar, pengiktirafan ini diterimanya dalam persidangan pakar-pakar dan profesional terkenal dari seluruh dunia dalam bidang tersebut.

"Universiti yang diundang merupakan universiti-universiti yang mempunyai ranking tinggi di dunia dalam bidang farmasi seperti University of Bradford, University College of London, University of Jordan, University of Kumanmoto Jepun yang meliputi pelbagai kepakaran dalam bidang Farmasi," katanya.

Syed Azhar menjadi satu-satunya wakil USM yang dijemput mewakili bidang Farmasi Klinikal dan diberi penghormatan menyampaikan ucap utama dalam acara yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Sudan di Hotel Corinthia Khartoum Sudan itu.

Syed Azhar turut menerima sijil anugerah "Permanent Membership Award” yang dikurniakan oleh Naib Canselor universiti tersebut bagi menghargai kepakarannya dalam bidang Farmasi Klinikal dan juga peranannya sebagai pemimpin untuk pelbagai pertubuhan yang bertaraf antarabangsa. 

Mengulas lanjut katanya, anugerah yang jarang-jarang dikurniakan ini hanya dikhaskan untuk mereka yang benar-benar menyumbangkan jasa, tenaga dan kepakaran dalam sesuatu bidang tertentu.

Sebelum itu, Syed Azhar turut diundang oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang berpengkalan di Islamabad Pakistan untuk berkongsi kepakaran dalam bengkel yang berkonsepkan "train the trainer" yang di hadiri sama oleh wakil dari negara-negara Islam seperti Turki, Oman, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Nigeria, Kuwait dan beberapa buah negara lain.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

 

  • Created on .
  • Hits: 886

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024