USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANITA - PUSAT PENYELIDIKAN GENDER PERTAMA NEGARA

P1012746dhfg

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 7 Mac 2016 - Sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan berasaskan gender yang pertama ditubuhkan di Malaysia pada 1978, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM) merancang untuk meneruskan banyak lagi penyelidikan yang berkaitan dengan isu wanita dan gender yang masih banyak ruang untuk dikaji dan berkolaborasi dengan institusi di peringkat antarabangsa.

Kini KANITA sedang berusaha memenuhi hasrat universiti untuk menerajui perancangan penubuhan kolej khusus wanita.

Menurut Pengarah KANITA, Profesor Madya Dr. Noraida Endut, beberapa siri bengkel telah diadakan bagi memantapkan perancangan dari segi visi, misi, objektif penubuhan dan program yang ditawarkan.

"Kami juga telah melakukan lawatan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan beberapa universiti dan institusi antarabangsa yang mempunyai Kolej Wanita seperti di Korea dan Bangladesh bagi mengenal pasti program yang berpotensi dan mempelajari dari pengalaman mereka dalam proses penubuhan kolej mereka," kata beliau.

KANITA ditubuhkan untuk menjalankan kajian yang bersifat rentas bidang yang melibatkan isu wanita dan gender. Antaranya termasuklah kajian mengenai kesejahteraan wanita dan isu keganasan terhadap wanita, gangguan seksual di institusi pengajian tinggi, keadilan dan kesaksamaan undang-undang syariah dalam isu keluarga, poligami, kajian berkaitan dengan ibu tunggal, maskuliniti, mikrokredit dan keusahawanan.

Tambah Noraida, yang terbaharu ialah kajian maskuliniti dan persepsi terhadap keganasan rumahtangga, jenayah remaja, keusahawanan dan isu bencana alam (banjir) dari perspektif gender.

Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2016 bertemakan "Pledge for Parity" atau ‘Ikrar untuk Kesaksamaan’ pada 8 Mac 2016, KANITA akan mengadakan forum dan beberapa persembahan lain seperti nyanyian oleh para pelajar siswazah KANITA dan tarian Zumba.

Selain itu, terdapat persembahan istimewa dari pelajar Sekolah Kebangsaan Lemoi yang akan mempersembahkan tarian tradisional orang asli iaitu ‘Tarian Sewang’.

Teks: Nor Khamisah Saidin (pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1574

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024