TEMUI BAKAL MAJIKAN DI CAREER FAIR 2016 USM DI KAMPUS KEJURUTERAAN
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 7 Mac 2016 - Career Fair Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM dan akan menghimpunkan 70 syarikat tempatan dan juga antarabangsa yang mengambil bahagian bagi penganjuran tahun ini.
Career Fair 2016 ini akan berlangsung pada 16 - 17 Mac 2016 dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan USM dan masuk adalah percuma.
Menurut Pengarah Projeknya, Teoh Cheng Lay, program ini adalah salah satu projek mega di Kampus Kejuruteraan USM dan telah menyumbang banyak kepada USM dari aspek mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada pelajar serta alumni.
"Program seperti ini juga memberi USM peluang untuk berkolaborasi bersama industri yang terlibat," kata pelajar tahun 3 jurusan Kejuruteraan Mekanikal ini.
Tambahnya lagi, program ini juga salah satu platform untuk mengetengahkan kekuatan dan kualiti pelajar USM kepada syarikat-syarikat terlibat.
"Pameran, ceramah kerjaya dan sesi temu duga akan dijalankan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian terutamanya untuk semua pelajar tahun 4 yang bakal menamatkan pengajian dan juga pelajar tahun ke-3 yang akan memulakan latihan industri," ulasnya lagi.
Career Fair ini berfungsi sebagai jambatan untuk menghubungkan pelajar dengan kerjaya yang baik pada masa akan datang setelah tamat pengajian kerana di sini pelajar dapat mempelajari tentang keperluan yang berbeza untuk bekerja dengan syarikat-syarikat yang berbeza, terutamanya syarikat pilihan mereka.
Selain itu, pengetahuan mengenai permintaan pasaran semasa dan kualiti yang harus seseorang itu miliki dalam bidang kerja yang berkaitan memberikan gambaran yang jelas kepada pelajar dalam mempersiapkan diri mereka untuk kerjaya pada masa akan datang.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1280