USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM PROMOSI KEBERSIHAN PANTAI

IMG 2816

BATU FERINGGHI, PULAU PINANG, 6 Mac 2016 – Kira-kira 100 orang pelajar dan warga Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan program kesukarelawanan  "Bio Beach Cleanup" di kawasan pantai Batu Feringghi Pulau Pinang hari ini yang mengajak masyarakat bersama-sama menjaga kebersihan pantai.

Dekannya, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah berkata tujuan utama program ini ialah untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar secara praktikal.

"Program ini juga adalah platform untuk berkongsi maklumat kepentingan penjagaan alam sekitar yang juga boleh membawa kepada penularan pelbagai penyakit jika tidak dijaga dan dibersihkan," katanya.

IMG 2880

IMG 2884

Amirul berharap kesedaran masyarakat Malaysia berkaitan kebersihan alam sekitar dapat diperkukuhkan melalui program membersihkan pantai ini sambil menyampaikan risalah kepada masyarakat berkaitan penjagaan kebersihan.

Tambahnya, kebersihan pantai bukan hanya terletak di bahu pihak berwajib tetapi adalah tanggungjawab bersama semua pihak untuk memeliharanya dan program seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang supaya mahasiswa dapat mendekati komuniti untuk menyampaikan mesej di samping memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Pengarah Projek, Nor Shamiera Adanan pula memberitahu bahawa inisiatif program membersihkan pantai ini datang melalui pemantauan dan komen yang dibuat di tempat tumpuan pelancong ini yang merupakan tarikan kepada masyarakat. 

"Kawasan ini sepatutnya perlu berada di dalam keadaan yang lebih bersih daripada keadaan semasa supaya dapat terus terpelihara," katanya.

IMG 2914

Tambahnya, program sebegini juga baik untuk disertai oleh mahasiswa kerana khidmat kepada komuniti dan alam sekitar sebegini perlu dipupuk dari sekarang supaya tidak lapuk dan dilupakan pada masa hadapan.

Program membersihkan pantai ini turut disertai oleh beberapa pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meliputi kawasan pembersihan sepanjang 3 kilometer.

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1255

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024