PELAJAR USM BANTU MURID SEKOLAH RENDAH KUALA KANGSAR
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 5 Mac 2016 – Sekretariat Asia Pacific Alliance of Postgraduate Student Association (APA-PSA) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan program kesukarelawanan "English Talent Development Programme" di beberapa buah sekolah rendah di daerah Kuala Kangsar Perak.
Pengarah Projek, Muhammad Imran Sarwar berkata, program ini melibatkan tenaga pengajar seramai 16 orang pelajar antarabangsa dan pelajar Malaysia pasca siswazah dan ijazah sarjana muda yang sedang melanjutkan pengajian di USM.
"Para pelajar USM ini mengajar perkara penting berkaitan dengan bahasa inggeris dalam berkomunikasi, ketika pembentangan, pemikiran kritikal dan juga diadakan pertandingan pembentangan kumpulan kepada murid-murid sekolah rendah yang terlibat," kata pelajar dari Pakistan ini.
Jelasnya lagi, program ini adalah yang pertama kali diadakan oleh USM yang melibatkan pelajar antarabangsa dan pelajar Malaysia yang bekerjasama untuk mengajar, memberi inspirasi dan aspirasi pada murid-murid yang kurang bernasib baik ini untuk mendalami bahasa inggeris.
"Hasil yang ingin dicapai ialah untuk murid-murid ini dapat membina keyakinan untuk menggunakan bahasa inggeris untuk berkomunikasi di samping mempersiapkan murid-murid ini bagi berhadapan dengan dunia masa kini yang menggunakan bahasa inggeris sebagai salah satu bahasa perantara yang penting," tambahnya.
Seramai 70 murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Paya Salak Padang Rengas Perak, Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail Perak dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Perak terlibat dalam program ini.
Murid-murid yang teribat juga melahirkan rasa gembira dengan kedatangan pihak dari USM ini untuk membantu meningkatkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 673